malaysiakini logo
story-image
ADS

Seperti yang kita ketahui dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah membuka pintu seluas-luasnya kepada tiga parti lain untuk bergabung dengannya dan membentuk Pakatan Harapan.

Parti-parti tersebut merupakan Democratic Action Party (DAP), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Jelas dapat kita lihat juga parti-parti yang bergabung di bawah bumbung Pakatan Harapan mempunyai ideologi dan dasar yang berbeza-beza antara satu sama lain.

Jadi tidak hairanlah selepas berada di blok kerajaan yang baru iaitu kurang dari 100 hari pemerintahannya, bibit-bibit perbalahan sudah kelihatan antara satu sama lain.

Nampaknya kurang dari 100 hari masing-masing sudah mula memperlihatkan taring dan belang yang mereka simpan selama ini. Baik parti PKR, parti AMANAH, parti PPBM mahupun parti DAP.

Terbaru, tiada angin tiada ribut dua wakil DAP iaitu Wong Kah Woh dan Ong Boon Piow dengan lantangnya mengkritik tindakan Dr Mazlee Malik, Menteri Pendidikan.

Pertamanya, perkara ini terjadi berkemungkinan ekoran ketidakpuashatian anggota Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh terhadap tindakan Dr Mazlee Malik tidak memberikan peruntukan kewangan kepada sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

Kedua, apabila Ong Boon Piow dengan jelas menegaskan pendiriannya mengkritik Dr Mazlee Malik kerana lebih mementingkan desakan ibu bapa tertentu untuk menukar kasut sekolah berbanding dengan isu lebih berat iaitu berkenaan kebajikan sekolah Cina.

Kedua-dua perkara ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa parti-parti dalam Pakatan Harapan tidak mampu bekerjasama. Apatah lagi untuk mencapai kata sepakat dan keputusan penting demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Yang menjadi semakin serius apabila perkara ini terus berlarutan sehingga bertidak secara drastik dengan menggesa Tun Mahathir untuk menilai kelayakan Dr Mazlee sebagai Menteri Pendidikan.

Ini jelas memperlihatkan ketidakyakinan ahli DAP terhadap keputusan Dr Mazlee Malek sebagai Menteri Pendidikan.

Percanggahan pendapat bukan suatu perkara yang boleh di buat main. Jika perkara sekecil ini terus-terusan berlaku bagaimana mahu menyelesaikan masalah yang lebih besar pada masa akan datang?

Jadi tidak hairanlah janji 100 hari mereka pun masih tergendala sehingga ke hari ini dengan alasan yang berulang kali di ulang iaitu ‘masih dalam kajian’.

Tapi hakikat sebenarnya yang berlaku adalah faktor ketidak saling fahaman antara parti yang menjadi punca utama tidak dapat mencapai kata putus bersama.

Apa yang lebih penting, seluruh rakyat akan terus memerhati dari semasa ke semasa tindak tanduk kerajaan baru sama ada akan memberi keselesaan kepada rakyat atau sebaliknya.


DHIA HANI merupakan Penyelidik Persatuan Pemikir Muda Johor.

Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen