malaysiakini logo
story-image
ADS

Sebarang cadangan untuk menurunkan had usia mengundi ke usia bawah 21 tahun perlukan penelitian yang teliti kerana ia melibatkan masa depan negara dan golongan muda sendiri.

Tidak perlu tergesa-gesa kerana ia akan melibatkan proses panjang seperti pindaan undang-undang tertinggi negara serta peruntukkan yang berkaitan dengannya.

Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan dengan jelas bahawa:

(1) Tiap- tiap warganegara yang (a) telah mencapai umur 21 satu tahun pada tarikh kelayakan; (b) bermastautin dalam sesuatu bahagian pilihan raya pada tarikh kelayakan yang sedemikian dan (c) didaftarkan, bawah peruntukan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pilihan raya, dalam daftar pemilih sebagai pemilih dalam bahagian pilihan raya tempat dia bermastautin pada tarikh kelayakan, berhak mengundi.

Isu had usia mengundi ini diperkukuhkan lagi bawah Akta Pilihan Raya 1958 [Akta 19] yang mentafsirkan seseorang pemilih itu seseorang yang mencapai umur 21 tahun mengikut Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun perlembagaan dan undang-undang berkaitan pilihan raya memperuntukkan dengan jelas had kelayakan usia mengundi pada usia 21 tahun, namun isu yang perlu diberi penekanan bukanlah dari aspek perundangan semata-mata.

Sebelum sebarang pindaan dilakukan terhadap perkara ini, persoalan harus ditanya sama ada golongan yang berada dalam usia muda berkenaan sudah betul-betul bersedia untuk terlibat dalam politik melalui proses pilihan raya ataupun tidak?

Tidak seperti isu-isu lain, isu yang melibatkan politik bukan hanya memerlukan tahap kepandaian yang tertentu di peringkat sekolah tetapi yang lebih penting memerlukan tahap kematangan yang tinggi.

Ini supaya tiada pihak mudah menjadi mangsa dakyah politik oleh mana-mana pihak atau parti politik.

Untuk melibatkan diri dalam isu politik, sama ada dengan menyertai parti ataupun sekadar menjalankan tanggungjawab setiap lima tahun sekali sebagai pengundi, memerlukan tahap kematangan yang tinggi, bukannya sekadar mengetahui mengenai isu politik apabila hampir tiba musim mengundi.

Kita bimbang sekiranya had usia mengundi diturunkan, golongan muda akan terdedah dengan risiko menjadi mangsa manipulasi pihak-pihak yang berkepentingan.

Menurunkan had usia mengundi dikhuatiri menjejaskan tumpuan golongan muda yang sepatutnya diberikan sepenuhnya terhadap proses pembelajaran yang penting untuk masa depan mereka.

Tidak menurunkan usia mengundi tidak bermakna kita memandang rendah terhadap golongan berkenaan.

Ia perlu dilihat dari skop berbeza yang golongan terbabit perlu dilindungi buat sementara waktu daripada pancaroba politik yang rata-ratanya dipelopori oleh orang dewasa yang memiliki pelbagai kepentingan dan agenda.

Kita juga tidak perlu melakukan proses perbandingan dengan negara-negara lain kerana setiap negara di dunia ini mempunyai suasana politik, sejarah, budaya dan persekitaran yang berbeza dengan kita.

Tidak bermakna apa yang telah dilakukan oleh negara lain sesuai dilaksanakan 100 peratus dalam negara kita.

Isu undi adalah satu isu yang serius kerana ia melibatkan membentukkan kerajaan dan masa depan negara.

Oleh itu penting proses pemilihan dilakukan oleh mereka yang betul-betul matang serta memahami keadaan politik semasa dan calon-calon bertanding.

Dicadangkan supaya satu kajian dilakukan sebelum sebarang kata putus diberikan.


DR MUZAFFAR SYAH MALLOW ialah pensyarah kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tulisan ini tidak semestinya pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen