malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Keutamaan meminda Akta 355 demi memperkasa mahkamah syariah
ADS

Saya menyambut baik jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof kepada pertanyaan lisan Anggota Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 18 Julai lalu mengenai kesediaan kerajaan persekutuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Katanya kerajaan sedang meneliti fungsi dan peranan institusi agama dengan memberi keutamaan kepada aspek memperkasa mahkamah syariah secara menyeluruh meliputi kompetensi hakim dan pendakwa syarie, aspek tadbir urus dan prasarananya.

Kerajaan Kelantan telah melaksanakan usaha-usaha tersebut dengan meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang diluluskan dalam sidang DUN Kelantan pada Julai 2017.

Selain daripada itu, Kelantan juga mengkaji beberapa enakmen bagi dicadangkan pindaan iaitu Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah Negeri Kelantan 1982 dan Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Negeri Kelantan 2002.

Semua ini adalah usaha dan komitmen kerajaan Kelantan bagi memartabatkan mahkamah syariah di Kelantan khususnya dan Malaysia amnya.

Saya berharap kerajaan persekutuan mengambil serius untuk menyegerakan dan memberi keutamaan kepada usul pindaan akta tersebut agar dibawa dalam persidangan Dewan Rakyat pada kali ini bagi menjayakan hasrat murni demi kebaikan umat Islam di Malaysia.


DATUK AHMAD YAKOB ialah menteri besar Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen