malaysiakini logo
story-image
ADS

Sebenarnya ucapan tahniah harus diberikan juga kepada seluruh ahli dan kepimpinan ke empat-empat Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Keadilan Rakyat, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang membentuk Pakatan Harapan (HARAPAN) terutama di negeri Kelantan dan Terengganu.

Di Kelantan, kami hanya mampu melihat dan saling mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan dan pimpinan dalam HARAPAN yang menang dan dilantik sama ada sebagai menteri, timbalan menteri, menteri besar, speaker DUN, timbalan speaker DUN, exco, timbalan exco, ADR dan ADN, tak lupa juga lantikan-lantikan dalam kementerian, perbadanan, yayasan, persatuan, agensi, dan berpuluh-puluh GLC yang lain.

Sementara itu, kami di Kelantan sebenarnya masih mampu bernafas lega, setelah dulu kami melawan dua buah parti yang menguasai dua jenis kerajaan, satu parti BN di Kerajaan Persekutuan dan satu lagi parti PAS di Kerajaan Negeri, kali ini beban kami sedikit ringan apabila hanya akan terus melawan parti yang mentadbir Kerajaan Negeri sahaja iaitu PAS, dan mereka hanya tandingan kami dari sudut sokongan keahlian dan undian sahaja.

Walau bagaimanapun, kami HARAPAN di Kelantan, sebenarnya tidak ada perbezaan ketara, walau semasa sebelum atau selepas "menang" di Putrajaya.

Bahkan selepas PRU 14 berlalu, kami masih lagi terus menjalankan kehidupan seperti biasa, tiada jawatan dan lantikan, mahupun penganugerahan sebarang projek atau perniagaan.

Baka Tok Janggut

Walaupun begitu, semua ini langsung tidak mematahkan semangat kami seluruh ahli dan pimpinan HARAPAN di Kelantan.

Alah bisa tegal biasa, baka kepahlawanan Tok Janggut yang mengalir dalam segenap nadi dan urat kami ini cukup hebat dan panas sehingga istilah kecewa, merajuk atau putus asa bagaikan hampir tiada dalam kamus hidup HARAPAN ini.

Buktinya, walau HARAPAN di Kelantan masih belum membuat rombakan atau lantikan kepada mana-mana ahli atau pimpinan dalam mana-mana agensi yang berkaitan, atau mula menyalurkan perkhidmatan dan bantuan sebagaimana selayaknya sebagai sebuah parti "kerajaan", sehingga hari ini, tidak pernah walau seorang pun ahli atau pimpinan HARAPAN kami mengisytiharkan kekecewaan dan bertindak keluar parti, bahkan bekas ahli dan penyokong kami yang dahulunya meninggalkan kami di saat-saat hampir PRU 14 itu pula yang kembali bergelewak bagai kucing kelaparan di kaki.

Itu tidak dikira lagi dengan kerumunan dan hurungan dari pelbagai pihak terutama tokoh-tokoh perniagaan, kontraktor mahupun orang perseorangan yang berkepentingan.

Dulu mencaci nista

Tidak ketinggalan rakan-rakan lama dari parti pembangkang yang dahulunya lancang saja mulut dan tulisannya mencaci nista dan memaki hamun kami dari HARAPAN, hanya kerana berbeza pandangan dan arah perjuangan, akhirnya kini tidak malu segan untuk duduk semeja minum kopi dan penyudahnya mengharapkan kami pula untuk tolong bayarkan minumannya.

Sikap sabar dan tenang serta cool seperti yang ditunjukkan oleh seluruh ahli dan para pimpinan HARAPAN di Kelantan ini, ditambah dengan nilai profesionalisma, tidak meminta dan menekan agar dapat merebut jawatan yang terbentang di depan mata, selain dari tidak gelojoh menuntut janji dipenuhi atau permintaan dan harapan untuk ditunaikan sama ada dalam bentuk jawatan mahupun bantuan, mencerminkan bahawa inilah nilai sebenar pejuang HARAPAN di Kelantan.

Hero tak "berlorat gaduh", sek kito jange pecoh, kito buat kijo kito, nanti sampailah bahagian kito, mungkin inilah ringkasan ayat yang boleh menggambarkan seluruh ahli dan pimpinan HARAPAN di Kelantan.

Syabas dan Tahniah HARAPAN Kelantan.


ARIFF BASHIRUDDIN RUSLI ialah Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Kelantan.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen