malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
'Skandal 1MDB sebelum Johari Ghani jadi menteri'
ADS

Saya mengikuti kisah Datuk Seri Johari Ghani atau lebih mesra dipanggil Jo Ghani sejak beberapa tahun yang lalu.

Sebelum beliau dipilih sebagai ahli parlimen Titiwangsa pada tahun 2013, beliau telah menempa nama di dalam sektor korporat terlebih dahulu.

Jo Ghani dikenali sebagai pakar pengstrukturan korporat, yang telah berjaya mengstruktur syarikat-syarikat yang mempunyai potensi tinggi untuk berkembang maju.

Baru-baru ini timbul cakap-cakap bahawa Jo Ghani adalah antara mereka yang perlu bertanggungjawab atas isu 1MDB kerana beliau adalah bekas Menteri Kewangan II.

Tak dipanggil siasatan 1MDB

Ramai yang tidak sedar sebenarnya bahawa Jo Ghani hanya dilantik sebagai Menteri Kewangan II selama 21 bulan bermula Julai 2016.

Ketika Jo Ghani dilantik, siasatan ke atas 1MDB oleh agensi dan badan penyiasat seperti Bank Negara, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sudah pun berjalan.

Beliau tidak pernah dipanggil untuk disiasat atau disoaljawab berkenaan dakwaan terhadap transaksi-transaksi 1MDB oleh badan dan agensi penyiasatan berkenaan.

Malah dakwaan penyelewengan yang dibuat berlaku bertahun-tahun sebelum Jo Ghani dilantik sebagai menteri kabinet.

Selama 21 bulan menjadi Menteri Kewangan II, Jo Ghani bertanggungjawab ke atas soal-soal ekonomi dan kewangan negara untuk memastikan Malaysia tidak terjerumus ke dalam kancah krisis ekonomi global kesan daripada kejatuhan harga minyak dunia, ekonomi global yang tidak stabil apabila Federal Reserve meningkatkan kadar faedah dan ekonomi China yang semakin perlahan ketika itu.

Track record Jo Ghani sebagai MKII juga sangat memberangsangkan:

Pertumbuhan ekonomi negara melonjak setelah perlahan pada 2016:

-2015: 5.1 peratus
-2016: 4.2 peratus
-2017: 5.9 peratus

Nisbah defisit dan hutang kerajaan persekutuan terus berkurang:

Nisbah defisit kepada KDNK:

-2015: 3.1 peratus
-2016: 3.0 peratus
-2017: 2.9 peratus

Hutang kerajaan kepada KDNK:

-2015: 54.5 peratus
-2016: 52.7 peratus
-2017: 50.7 peratus

Hasil kerajaan meningkat semula selepas jatuh sepanjang 2015 - 2016:

-2015: RM219.1 bilion
-2016: RM212.4 bilion
-2017: RM220.4 bilion

Pelaburan langsung asing (FDI) terus mengalir masuk ke dalam negara:

-2015: RM39.4 bilion
-2016: RM47.0 bilion
-2017: RM41.0 bilion

Pasaran saham melonjak semula setelah jatuh sepanjang 2015 - 2016:

Indeks Bursa Malaysia KLCI

2015: 1,692.51
2016: 1,641.73
2017: 1,796.81

Ringgit kembali pulih setelah jatuh ke paras terendah pada tahun 2016:

Disember 2016: 4.4860
Disember 2017: 4.0620
April 2018: 3.8620

Bermula dari bawah

Semua ini membuktikan bahawa pelantikan Jo Ghani sebagai Menteri Kewangan II adalah tepat dan membuahkan hasil yang cemerlang kepada negara walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global.

Jo Ghani bukanlah seperti sesetengah ahli politik Umno yang lain. Beliau bermula daripada bawah, membesar di kawasan setinggan, melanjutkan pelajaran di ITM sebelum ke luar negara sehingga bergelar Akauntan Bertauliah. Beliau menjadi jutawan atas usaha sendiri, bertahun-tahun sebelum beliau menjadi Menteri.

Kisah hidup beliau adalah kisah sebenar kejayaan Umnomengeluarkan anak bangsa daripada belenggu kemiskinan sehingga berjaya dari segi kerjaya seterusnya menyumbang kepada negara dengan berkhidmat sebagai anggota pentadbiran negara.

Maka sesuailah Jo Ghani dipilih sebagai Naib Presiden Umno Malaysia, untuk beliau kembali menabur bakti dan menyumbang kepada kebangkitan semula Umno, parti yang banyak berjasa kepada beliau sendiri dan kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu.


MIOR ANUAR ialah anggota Umno Wilayah Persekutuan.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen