malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Dilema Sarawak: Antara MA63 dan reformasi politik
ADS

Sememangnya rakyat Sarawak sangat bangga dan patriotik apabila berbicara tentang negeri kesayangan mereka. Justeru tercetusnya suatu gerakan untuk mengembalikan hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ia disambut baik oleh semua pihak termasuklah pemimpin-pemimpin tempatan.

Namun, semestinya terdapat golongan yang sangsi terhadap gerakan tersebut. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa tuntutan itu sangat bermakna, khususnya kepada rakyat Sarawak, namun itu tidak akan dibincangkan dalam penulisan kali ini.

Persoalan yang akan dibincangkan ialah, apakah makna perjuangan tersebut jika tiada perubahan politik? Menggunakan bahasa lebih mudah, apalah gunanya jika kita dapat semua hak kita tetapi hak-hak itu kemudian hanya dimaanfaatkan oleh golongan kleptokrat saja?

Sebagai contoh, jika Sarawak memiliki hak ke atas petroleum sekalipun, tetapi pada masa sama pemimpin tidak menggunakan keuntungan itu bagi pembangunan negeri, apa gunanya? Kalau semua khazanah negeri digunakan untuk memperkaya kroni-kroni, maka sekadar hangat-hangat tahi ayam sajalah perjuangan ini.

Sarawak memang secara fizikalnya sudah kaya dengan kayu balak dan sumber asli yang lain. Ke mana perginya kekayaan tersebut selama ini? Adakah tidak cukup untuk kita salahkan pihak semenanjung semata-mata, atau ianya hanya sentimen politikus Sarawak bagi menutup kelemahan kleptokrat dan menjaga korupsi yang diamalkan selama ini?

Jadi, kita usah hipokrit. Apabila mahu berbicara soal perjuangan, kita juga perlu mengupas mengenai perubahan, reformasi politik secara keseluruhannya. Jangan sesekali kita terleka oleh MA63 daripada "the big elephant in the room".

Budaya politik lama di Sarawak ini sudah cukup parah. Perubahan sebenar perlu dilakukan secara mendadak sebelum rakyat betul-betul marah dan memberontak.

Jangkaan yang meleset

Selepas PRU14, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam satu wawancara menyatakan kekesalan beliau tidak bertindak dan menyatakan perkara sebenar kepada pucuk pimpinan parti.

Kekesalan tersebut perlu menjadi lonceng amaran kepada saudara di seberang Laut China Selatan, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Kejatuhan kerusi Puncak Borneo buat pertama kalinya merupakan petanda retak yang menunggu belah. Namun, pemimpin PBB masih sombong untuk menerima realiti sebenar.

Secara angkuh Presiden PBB, Abang Johari Abang Openg yang juga pengerusi BN Sarawak ketika itu mendakwa, akan memenangi 27 kerusi daripada 31 yang ditandingi. Ternyata jangkaan itu meleset.

Kendatipun begitu, yang menjadi masalah sebenar ialah keengganan pucuk pimpinan untuk menerima hakikat yang nasib mereka bagai telur di hujung tanduk.

Malah, kesombongan Abang Johari masih terserlah apabila menuding jari kepada parti-parti komponen lain atas kemerosotan BN yang kronik kerana “PBB hanya kalah satu kerusi saja”.

Bukan itu sahaja, sebelum PRU lagi Peter Minos dengan sambil lewa mendakwa isu nasional hanyalah masalah semenanjung dan orang Sarawak usah terpengaruh.

Kena segera belajar

Saya bersyukur kerana rakyat Sarawak cukup bijak untuk tidak menerima bulat-bulat kenyataan Minos itu. Bagaimana isu nasional tidak memberi kesan di Sarawak sedangkan cukai barangan dan perkhidmatan (GSST) dilaksanakan di seluruh Malaysia?

Penyelewengan 1MDB ialah penggelapan duit rakyat Malaysia, termasuklah duit pembayar cukai dari Sarawak.

Keadaan ini tidak terjangka, malah pengalisis politik dan profesor hebat pun menjadi kangkung kerana kejahilan mereka yang tidak mahu menerima perubahan semasa.

Analisis bahawa rakyat Sarawak lebih mementingkan politik pembangunan tidak lagi boleh diguna pakai. Maksudnya, mereka perlukan pemimpin yang betul-betul boleh bekerja dan merealisasikan politik pembangunan tersebut, bukan sekadar omong kosong.

PBB telah menjadi parti yang dihuni oleh golongan yang angkuh dan sombong.

Keluarlah dari BN sekali pun, tapi dengan sikap yang sama masih disemai, penolakan rakyat adalah jawabannya.

Tambahan pula, PBB tidak dapat menandingi Pakatan Harapan (HARAPAN) yang sudah menjadi kerajaan pusat, yang semestinya akan mengerah seluruh tenaga mereka bagi mempengaruhi pengundi.

Bahkan, HARAPAN memiliki lebih ramai pemuda yang berkaliber, berwawasan dan berkarisma. PBB? Dipenuhi oleh golongan tua yang tidak mahu perubahan dan pemudanya lebih bersifat sebagai pengampu presiden bagai lembu dicucuk hidung.

Belajarlah wahai PBB sebelum dihukum oleh rakyat.


MOHD MUSTAQIM MURADI anak Sarawak dan pembaca Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen