malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Pinda perlembagaan untuk ubah had umur layak mengundi
ADS

Saya merujuk kepada laporan berita bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong cadangan untuk menurunkan umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Pada 1971, Lim Kit Siang dalam ucapan penggulungannya di parlimen mencadangkan supaya umur layak mengundi diturunkan kepada 18 tahun.

Beliau juga mencadangkan penubuhan jawatankuasa pelbagai parti untuk mengkaji cadangan tersebut. Malangnya sehingga kini, tiada usaha konkrit ke arah merealisasikan cadangan berkenaan.

Saya menyokong sebarang usaha pihak kerajaan persekutuan untuk melaksanakan perkara ini yang merupakan salah satu daripada janji dalam menifesto Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Individu yang sudah mencapai umur 18 tahun adalah orang dewasa pada sisi undang-undang.

Maknanya, individu itu tidak lagi dikira sebagai kanak-kanak dan sudah mencapai umur majoriti.

Individu yang berumur 18 tahun sudah boleh bekerja, berkahwin dan mendapat lesen memandu.

Namun demikian, individu tersebut tidak boleh mengundi semasa pilihan raya untuk menentukan siapa yang akan mewakilinya di Dewan Rakyat atau dewan undangan negeri. 

Hampir semua negara di dunia ini meletakkan umur 18 tahun sebagai umur layak mengundi, termasuklah negara jiran seperti Thailand, Filipina dan Indonesia.

Maka kita sebenarnya sudah ketinggalan berbanding negara-negara lain.

Oleh itu, sudah tiba masanya kerajaan mengorak langkah meminda Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur layak mengundi.

Parti-parti pembangkang juga harus menyokong apa-apa usul kerajaan untuk membuat pindaan tersebut.

Dalam Malaysia baru ini, tidak ada sebab mengapa anak muda yang sudah dewasa dinafikan peluang untuk terlibat dalam menentukan hala tuju negara melalui proses pengundian.


SYAHREDZAN JOHAN ialah setiausaha politik anggota parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen