malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Belum masa tegur HARAPAN, beri ruang corak pembaharuan
ADS

Pakatan Harapan telah mengejutkan dunia dan mencipta sejarah apabila berjaya mengambil tampuk pemerintahan buat kali pertamanya dari parti Barisan Nasional yang telah memerintah selama 61 tahun sejak merdeka.

Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini wujud desakan demi desakan dari rakyat yang mahu kerajaan melaksanakan janji-janji pilihan raya yang telah dijanjikan semasa pilihan raya umum ke -14 yang lalu.

Hasrat dan cita rasa rakyat keseluruhannya begitu tinggi untuk melihat perubahan yang bakal dibawa kerajaan seperti dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan.

Namun belum pun kerajaan melaksanakan janji, sudah kedengaran rakyat berkokok di sana-sini seolah-olah kerajaan baharu sedang tidur lena dan tidak berbuat apa-apa.

Adalah diharapkan agar rakyat bersabar dan bersyukur menerima kerajaan baharu. Kerajaan baharu ini merupakan kerajaan pilihan rakyat justeru rakyat perlu memberi ruang dan masa kepada Kerajaan Pakatan Harapan untuk membolehkan mereka merancang agenda pembaharuan kepada negara.

Rumah baru, cacat cela kerajaan dulu

Ibarat membina sebuah rumah baru, seseorang itu perlu merancang dan membina setiap inci rumah dengan teliti demi menjamin keselamatan keluarga sebelum dapat mendiami dengan selesa di dalam rumah tersebut.

Begitu juga dengan kerajaan baharu, buat masa ini kerajaan terpaksa memperbaiki cacat cela yang berlaku di dalam kerajaan terdahulu dan semestinya pembaharuannya akan memakan sedikit masa.Adalah mustahil kerajaan boleh serta-merta menunaikan segala permintaan rakyat.

Rakyat perlu beri ruang dan peluang kepada kerajaan merancang dan mengatur strategi mereka terlebih dahulu tanpa diganggu gugat dengan pelbagai desakan yang boleh membantutkan proses pembaharuan yang dirancang oleh Kerajaan.

Buat masa ini, belum masanya untuk rakyat menegur dan membuat kesimpulan tentang prestasi kerajaan Pakatan Harapan yang usianya tidak sampai lagi setahun jagung.

Rakyat Malaysia yang sayangkan negara perlu banyak kesabaran menanti perubahan demi perubahan yang bakal dilakukan oleh kepemimpinan baharu dari masa ke semasa.

Jadilah rakyat yang peka dan prihatin terhadap permasalahan yang dihadapi kerajaan.

Sama-sama kita bergandingan bahu dalam membantu Kerajaan Pakatan Harapan untuk membina semula negara yang dicintai ini agar agenda pembaharuan yang dibawa Kerajaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan baik.


MALEK NOOR ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen