malaysiakini logo
story-image
ADS

Hari ini genap 34 hari sejak PRU ke-14 yang bersejarah, dakwat di jari pun masih belum pudar.

Saya mengaku saja - saya pegawai kerajaan dan saya mengundi Pakatan Harapan (HARAPAN). Sebabnya bukan untuk HARAPAN menang, bukan juga mengharapkan BN tumbang. Saya mahu lebih daripada itu.

Lama sebelum pilihan raya saya sama seperti penyokong HARAPAN yang lain, percaya negara perlu segera diselamatkan kerana keadaan kewangan yang teruk. Ya, saya angguk saja apa yang dijaja media alternatif dan berkongsi pautan di media sosial walau belum tentu sahih kandungannya.

Itu ketika PRU ke-13 lima tahun lalu. Nasib baik Akta Antiberita Tidak Benar belum ada.

Kini apa yang saya hasratkan lebih penting daripada kemenangan mana-mana pihak, iaitu perubahan budaya pemikiran rakyat Malaysia.

Sebelum ini pegawai kerajaan seolah-olah dituntut untuk mengundi BN yang sekian lama memerintah. Sepertinya peraturan tidak mengizinkan kami menyokong selain daripada itu. Walhal apa yang dilarang hanya menunjukkan sikap berpihak kepada mana-mana parti.

Tetapi tahu sajalah, peraturan hanya terpakai kepada mereka yang tidak sokong BN. Sesiapa yang menyokong selain daripada itu akan dipandang serong, misalnya sebagai pemuja parti Tindakan Demokratik.

(Alhamdulillah, Parti Islam Semalaysia - PAS - telah dibersihkan daripada kekotoran ini. Takbir!)

Peraturan seperti inilah yang memberi sebab utama kepada saya bahawa kerajaan perlu ditukar. Keadilan dan kebebasan membuat pilihan perlu ditegakkan agar rakyat menjadi cerdik untuk membezakan antara kerajaan dan parti pemerintah.

Bagi saya, 'kenderaan' bernama Malaysia ini perlu memalui overhaul yang sudah lama ditunda.

Sebab lain juga penting. Saya tak buta daripada melihat skandal besar 1MDB yang 'mengharumkan' nama Malaysia seantero dunia. Ia juga menjadi sebab untuk mengundi selain daripada BN (dan juga pihak yang menjaja diri sebagai 'kingmaker' walaupun hasrat itu tak tercapai).

Tetapi pada masa sama perbincangan dengan rakan yang berada dalam bidang ekonomi banyak menunjukkan ada dasar BN yang memang memberi manfaat kepada rakyat.

Saya tahu bekas perdana menteri kita seorang yang bijak dan berpelajaran tinggi. Kefasihannya berbahasa Inggeris pula memang saya puji.

Tetapi malangnya terlalu banyak tindakan dia dan kabinetnya yang dipersoal. Apabila disoal mereka tidak menjawab. Mulut seolah berjahit untuk bercakap tentang 1MDB.

Pasangan dia yang tidak kurang (malah mungkin lebih) terkenal itu juga tidak membantu imej dia. Barangkali lebih sibuk membantu kewangan syarikat Hermes.

Saya bukan penyokong tegar HARAPAN walaupun merasa sangat gembira apabila bangun tidur pada 10 Mei lalu. Politik adalah akhafu dhororin - memilih yang kurang mudarat - dan HARAPAN pula lesser of two evils.

Perkara pertama yang saya fikir setelah PRU adalah kembalinya kebebasan memilih kepada rakyat.

Jika selepas ini keadaan masih sama - iaitu penyokong BN dan PAS pula yang perlu menyokong secara sembunyi jika tidak mahu dikenakan tindakan - dua kali lima sajalah HARAPAN dengan BN.

Syukurlah setakat bulan pertama ini belum ada petanda itu.

Perjumpaan wakil rakyat yang dijadual di kediaman rasmi timbalan perdana menteri dibantah. Peruntukan wang yang kurang kepada ADUN pembangkang juga mengundang kritikan.

Inilah yang kita harapkan jika benar ingin melihat Malaysia Baru. Yang menang akhirnya rakyat tanpa mengira kecenderungan politik mereka.

Media juga bebas menampilkan sesiapa saja. Presiden PAS juga dijemput walaupun mantiqnya tidak tergarap oleh mereka yang belum mendaftar sebagai ahli syurga.

Saya menunggu lebih ramai pemimpin BN di TV. Ini budaya sihat.

Seperti yang disebut, apa yang diharapkan adalah perubahan budaya pemikiran. Antaranya pemikiran sivik yang menjadi teras pembangunan masyarakat.

Perubahan peringkat atas harapnya akan menatijahkan perubahan sama di bawah. Daripada mengikis sikap rasisme sehinggalah tidak lagi membuang sampah dari tingkap kereta.

Mungkin nampak mengarut perkaitan antara kertas undi dan sikap buang sampah merata-rata. Tetapi saya merasakan air yang terlalu lama bertakung akhirnya akan karat dan hanya mengotorkan muka pengambil wuduk.

Pepatah Inggeris berkata, a fish rots from the head, bermakna sikap pemimpin akan turun kepada rakyatnya.

Terima kasih rakyat yang mengundi perubahan - Melayu, Cina, India, Dusun, Kadazan, Penan, Bajau dan lain-lain, termasuklah pemegang IC palsu.

Mungkin niat kalian berbeza dengan saya tetapi destinasi dan hasilnya sama. Kalian telah menjelmakan keramat suara rakyat dan terus mengingatkan kerajaan tentang kebenaran ini.

Dakwat pada jari ini akan hilang tak lama lagi, saya harapkan dengannya budaya politik lama "pemerintah boleh buat apa sahaja" juga akan mengikutinya.

Terima kasih Malaysia!


DANIEL IQRAM merupakan seorang pegawai perubatan yang berkhidmat dengan kerajaan.

Rencana ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen