malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Penjelasan tulisan Kelab Pesara Kanan sokong kerajaan baru
ADS

Saya merujuk kepada tulisan Malaysiakini bertajuk “Kelab Pesara Kanan buang 'Umno' sokong kerajaan baru”, 12 Jun 2018'.

Pada jam 1.00 petang, hari Selasa, 12 Jun 2018, saya telah dihubungi oleh Malaysiakini meminta untuk mengulas berhubung pengesahan surat yang diberikan kepada ahli-ahli pesara kerajaan agar menyokong calon BN pada pilihan raya umum (PRU) yang lepas setelah mereka tidak berjaya untuk menghubungi presiden kelab, iaitu YBhg Tan Sri Aseh Che Mat.

Sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) kelab, saya menjelaskan bahawa memang benar surat itu telah dikeluarkan oleh kelab tersebut sebelum PRU yang lepas. Saya juga memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa semalam, iaitu pada 11 Jun 2018, di mesyuarat agung (AGM) kelab tersebut, keputusan telah dibuat bahawa Kelab Pesara sewajarnya bersikap 'neutral' (berkecuali). Ini kerana, penubuhan kelab ini adalah bertujuan untuk menjaga kebajikan ahli yang sebahagian besar mendapat bantuan dan persaraan daripada pihak kerajaan. Oleh itu, mereka berpendapat bahawa mereka sepatutnya menyokong kerajaan pada hari ini. Saya hanya memaklumkan keputusan mesyuarat agung tersebut yang mana saya sendiri tidak hadir di mesyuarat agung tersebut. Saya tegaskan bahawa saya hanya memaklumkan perkara ini dan keputusan ini adalah keputusan yang dibuat melalui AGM.

Sebagai ahli Umno yang setia, saya tetap menyokong perjuangan Umno dulu, kini dan selamanya. Perjuangan Umno dan BN sejak dahulu harus sentiasa dikenang dalam proses pembangunan dan kemajuan negara Malaysia.

Lihat Komen