malaysiakini logo
story-image
ADS

Kita sedia maklum bahawa rakyat pada hari ini telah berani melalukan perubahan. Maka saya yakin bermula saat ini, tiada lagi parti yang boleh menjadi raja di negara ini.

Jika mana-mana parti melakukan perkara yang tidak baik untuk negara, kuasa rakyat untuk mengubah kerajaan pasti boleh berlaku setiap kali pilihan raya umum (PRU) diadakan.

Minggu lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Dewan Rakyat akan bersidang pada Julai 2018.

Sejak peralihan kuasa pada 9 Mei 2018, pembangkang - iaitu BN - masih belum menamakan mahupun memberi calon bayangan yang akan mengetuai barisan mereka di parlimen.

Pakatan Harapan dalam manifestonya telah memberi suatu janji yang segar iaitu ketua pembangkang di Dewan Rakyat ialah wakil rakyat yang bertaraf menteri.

Dalam era Malaysia baru, kita mahu mengetengahkan anak muda dan amalan politik matang dalam kancah politik tanah air sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap apa yang dilakukan kerajaan pada hari ini.

Saya ada membaca kenyataan media oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar melalui Facebook beliau.

Saya bersetuju bahawa ketua pembangkang tidak semestinya pengerusi BN.

Oleh itu, saya secara peribadi berpendapat bahawa Khairy layak dilantik sebagai ketua pembangkang pada penggal kali ini.

Kita mahukan pembangkang yang kuat sebagai mekanisme semak dan imbang kerajaan Pakatan Harapan serta membawa politik matang untuk Malaysia baru.


AIZAT KHALID penolong Setiausaha Pemuda BERSATU Pulau Pinang merangkap Ketua Pemuda BERSATU Bayan Baru.

Rencana ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen