malaysiakini logo
story-image
mk-logo
From Our Readers
Matematik, sains wajar dalam bahasa ibunda
ADS

Kita rasa terharu apabila ada wakil rakyat dari parti komponen Barisan Nasional, iaitu Gerakan berani meluahkan pandangan dan meminta kerajaan mengkaji semula perlaksanaan pendidikan matapelajaran sains dan matematik di dalam Bahasa Inggeris (BI).

Beliau meminta agar pengajaran matematik dan sains diubah semula ke dalam bahasa ibunda iaitu bahasa cina, India dan Bahasa Melayu (BM). Jika diharapkan wakil-wakil UMNO, tidak mungkin mereka ini berani membangkitkan isu ini.

Perlaksanaannya dahulu sememangnya dibuat secara mendadak dan kelam kabut, ini tidak lain dan tidak bukan kerana atas arahan orang nombor satu, iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Maka kementerian pun bertungkus lumus menyediakan buku-buku rujukan, buku teks dan sistem multimedia yang akan digunakan pada awal tahun 2003. Sebahagian besar guru-guru tidak bersedia untuk mengajar di dalam BI bagi sujek-subjek itu.

Guru-guru mengeluh, bukannya mudah bagi mereka untuk memberi penerangan dan untuk memahamkan murid-mudid di dalam kedua-dua subjek tersebut. Akhirnya, ramailah guru-guru yang teruskan juga mengajar dalam BM dan bagi yang masih mencuba untuk mengajar dalam BI terpaksalah membacanya terus dari "laptop" ataupun buku teks.

Di akhir tahun 2003 dan 2004, kita mendengar Kementerian memberikan statistik kemajuan pelajar-pelajar kita dalam BI, Sains dan Matematik, dan kononnya kemajuan amat memberangsangkan. Sekiranya statistik itu diambil dari sekolah-sekolah seperti VI, Aminuddin Baki dan kebanyakan sekolah-sekolah di sekitar PJ, Subang Jaya dan beberapa sekolah lagi di sekitar Lembah Kelang sudah tentu keputusan BI tersangat baik.

Adakah itu mencerminkan keadaan sebenar kemajuan pelajar-pelajar secara keseluruhannya? Bagaimana keputusan Matematik dan Sains anak-anak kampung setelah diajar dalam BI ? Tidak pernahpun statistik yang mewakili golongan-golongan ini dipertontonkan.

Dari tinjauan rambang dan maklum balas dari guru-guru, mereka sebenarnya di dalam dilema. Arahan perlu diikut tetapi dalam masa yang sama kasihan melihatkan anak-anak bangsa yang ketinggalan. Alangkan belajar di dalam BM pun ramai anak-anak Melayu kurang memahami dan menguasai pelajaran matematik dan sains, inikan pula setelah dipaksa untuk belajar di dalam BI.

Matlamat kerajaan dalam melaksanakan polisi ini kurang jelas; sekiranya penguasaan BI yang mahu ditingkatkan, seharusnya Kerajaan mengkaji semula sistem pembelajaran BI dan silibus pelajaran BI itu sendiri.

Mungkin guru-guru BI perlu diberikan latihan mengajar secara lebih khusus untuk membantu penguasaan BI. Sekiranya mereka berpendapat pelajar yang belajar sains dan matematik di dalam BI sahaja yang mampu untuk maju, sekali lagi mereka salah.

Lihatlah berapa ramai saintis, pensyarah, penyelidik, jurutera kita yang dahulunya belajar di dalam aliran Melayu. Sedarkah mereka, perlaksanaan 100 peratus aliran Melayu di sekolah-sekolah Malaysia bermula seawal tahun 1970; dan setelah lebih 40 tahun beribu-ribu para saintis, jurutera, pensyarah dan sebagainya telah dilahirkan oleh universiti-universiti tempatan dan juga luar negara.

Mereka ini walaupun belajar di sekolah aliran Melayu tetapi mampu melanjutkan pengajian di universiti tempatan atau pun luar negara dan di dalam bidang sains dan teknologi yang sebahagian besarnya diajar dalam BI.

Mereka ini kini menjadi nadi penggerak institusi pengajian tinggi, industri pengeluaran malah institusi-institusi penyelidikan negara. Jadi, isu lemah BI ini sengaja di perbesar-besarkan untuk dijadikan justifikasi untuk melaksanakan polisi ini tanpa kajian yang teliti.

Kalaupun satu masa nanti polisi ini ternyata menguntungkan, apakah generasi awal perlaksanaan ini wajar dijadikan mangsa? Ramai cendikiawan negara yang mengeluarkan pendapat yang menentang perlaksanaan polisi ini tetapi seperti biasa pendapat mereka sering diketepikan oleh ahli-ahli politik yang rata-ratanya tidak berpengetahuan di bidang pendidikan.

Mereka ini tidak lebih dari tukang angguk dan kaki bodek yang terlalu takut periuk nasi terjejas. Di dalam diri mereka jelas kurangnya ciri-ciri pejuang.

Prof. Ungku Aziz pernah memberikan pendapat beliau mengenai polisi ini yang menurutnya akan hanya merugikan lagi umat Melayu kerana bagi kaum-kaum lain, BI sudah lama merupakan bahasa kedua mereka.

Jadi yang akan ketinggalannya adalah anak-anak orang Melayu sendiri. Para pejuang bahasa mengambil masa bertahun-tahun memperjuangkan agar bahasa melayu diangkat menjadi bahasa ilmu, banyak buku ilmiah diterjemahkan dan sedikit demi sedikit pembelajaran di peringkat universiti diubah ke dalam bahasa Melayu tapi kini usaha itu ternyata terbantut dan menjadi sia-sia.

Kita sudah lihat bagaimana bangsa Jepun yang menjadi pusat segala teknologi tinggi, mereka telah dan masih lagi menggunakan bahasa Jepun. Perancis yang merupakan salah sebuah negara maju dalam kumpulan G7, tidak juga menggunakan BI walaupun negara itu hanya dipisahkan oleh satu selat Inggeris yang sempit dari Great Britain.

Banyak lagi contoh-contoh lain yang boleh di jadikan rujukan tetapi kerana adanya pemimpin-pemimpin yang berfikiran sempit dan mungkin juga ada kepentingan tertentu dengan perlaksanaan sesuatu polisi maka anak-anak bangsa kitalah menjadi mangsa.

Masihkah mereka ini layak menggelarkan diri mereka pejuang; pejuang bangsa, agama dan negara?

Mereka boleh menghunuskan keris sebagai lambang kemelayuan, tetapi anak-anak mereka tidak pun fasih berbahasa melayu. Mereka boleh mempromosikan Islam Hadari (yang kononnya diterima oleh banyak negara-negara Islam sekular lain) tetapi isteri-isteri mereka sendiri tidak menutup aurat dan kita lihat sebahagian dari mereka terlibat dalam korporat-korporat yang asas perniagaannya haram disisi Islam.

Mereka beria-ia mengatakan hak Melayu akan dijaga tetapi bahasa Melayu sendiri dicabul. Pendek kata, pemimpin-pemimpin ini sememangnya "cakap tak serupa bikin" dan selayaknya mereka ini diganti.

Saya menyeru segenap pihak terutamanya para cendikiawan Melayu agar bersatu tekad dan usaha agar keunggulan bahasa ibunda tercinta kembali bersinar dipersada ilmu. Seluruh institusi pendidikan, sekolah sehingga pusat-pusat pengajian tinggi seharusnya menggembeling tenaga menyediakan satu dasar pelajaran yang akan menjamin pengembangan ilmu anak-anak bangsa.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.