malaysiakini logo
story-image
ADS

Isu kaum dan agama menjadi topik utama ketika era pemerintahan Barisan Nasional.

Sebagai seorang rakyat Malaysia dari kaum Cina, saya amat muak sekali dengan isu ini yang semakin membara ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi perdana menteri.

Beliau melindungi samseng seperti Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos. Tokoh yang sering mengeluarkan kenyataan perkauman seperti Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali dibiarkan.

Kini Jamal sudah menjadi pelarian, Ibrahim pula telah meninggalkan PERKASA.

Pada PRU ke-14, kita menunjukkan bahawa kita tetap satu bangsa - bangsa Malaysia - walaupun kita mempunyai budaya, agama dan bahasa berbeza.

Sama ada kita India, Melayu, Kadazan-Dusun, Dayak mahupun Cina, kita adalah rakyat Malaysia. Ini adalah tanah tumpahnya darah nenek moyang kita yang sama-sama menentang penjajah.

Malaya mendapat kemerdekaan pada 1957. Lima tahun kemudian, iaitu 1973, lahirlah Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat meliputi Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Singapura. (Singapura meninggalkan Malaysia dua tahun kemudian).

Era baru

Menjelang 9 Mei 2018, rakyat mula sedar tipu helah ahli politik yang sengaja menggunakan isu kaum dan agama untuk terus berkuasa memerintah negara.

Pada masa sama, hutang negara mencecah RM1 trilion. Penyelewengan seperti skandal 1MDB menyebabkan maruah bangsa Malaysia jatuh di pentas dunia.

Ada yang mengaut harta dan menjadi kaya-raya. Sementara rakyat - Melayu dan juga bukan Melayu - telah diketepikan dalam proses pembangunan negara.

Seperti kata pepatah, "harapkan pegar, pegar makan padi".

Sebagai seorang rakyat Malaysia dari kaum Cina, saya amat risau tentang masa depan anak-anak muda negara kerana hutang yang begitu besar ini.

Bawah pentadbiran perdana menteri dari kaum Melayu dan beragama Islam, nasib orang Melayu tidak terbela. Beliau malah terlibat dalam skandal yang dikatakan terbesar di Amerika Syarikat, mengikut siasatan Jabatan Kehakiman (DOJ) mereka.

Ia menyebabkan GST dilaksanakan. Akibatnya rakyat terpaksa menampung kos sara hidup yang lebih tinggi.

Melayu bangkit

Maruah adalah apa yang dikaitkan dengan perbuatan individu, bukannya kaum.

Jika orang Cina seperti Jho Low dapat dibawa ke mahkamah, saya berharap dia akan dihukum penjara selama 40 tahun agar insaf dengan segala perbuatannya yang telah memalukan negara dan bangsa.

Kaum Cina dan negara Malaysia tidak memerlukan orang seperti itu. Lebih baik dia dipenjarakan saja. Inilah pandangan saya sebagai seorang Cina Malaysia.

Justeru saya juga percaya orang Melayu akan bangkit bersama untuk memastikan yang bersalah - tanpa mengira kaum dan agama - akan menerima balasannya.

Maruah Melayu bukanlah hasil laungan orang seperti Jamal, tetapi daripada pencapaian tokoh Melayu yang dipandang tinggi masyarakat pelbagai kaum.

Saya sangat menghormati orang Melayu yang tekun berusaha untuk mencapai kejayaan dalam bidang yang dipilih mereka.

Tiga wanita yang sangat saya hormati adalah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Tan Sri Rafidah Aziz.

Dr Wan Azizah pernah menjadi pelajar perubatan terbaik (gold medal) di Royal College of Surgeon, Ireland pada 1977. Beliau adalah wanita pertama menjadi timbalan perdana menteri Malaysia, dan mendapat pengiktirafan media antarabangsa, antaranya The Korean Herald.

Dr Siti Hasmah pula tokoh yang disanjung tinggi rakyat pelbagai kaum. Pada usia 92 tahun, beliau masih gigih bersama-sama rakyat, misalnya belajar bermain biola dan mempersembahkannya kepada anak-anak muda.

rafidah mempunyai pendirian tersendiri dan sanggup melawan apa yang dirasakannya salah. Saya tidak setuju dengan semua hal yang disuarakannya, tetapi amat menghormatinya kerana prinsipnya iaitu berani keranaa benar.

Beliau bukan seperti Khairy Jamaluddin yang hanya menyesal selepas Najib kalah.

Maruah orang Melayu terletak pada tokoh-tokoh ini, bukannya pemimpin Melayu yang korup.

Tak mengira kaum

Mungkin ada yang masih ingat tentang mendiang Tan Sri Tan Chee Khoon, seorang tokoh pembangkang yang unggul di zamannya.

Ramai yang menghormatinya kerana sentiasa menolong golongan miskin tanpa mengira kaum dan agama.

Itulah perasaan kaum Cina, India, Kadazan mahupun Dayak terhadap pemimpin Melayu yang berpegang kepada prinsip kemanusiaan yang tinggi.

Mendiang datuk saya, Ng Han Ti juga meninggalkan legasinya sendiri. Saya difahamkan beliau amat dihormati rakan-rakan di Seremban.

Beliau mempunyai kelulusan Malayan Certificate of Education (MCE) dan sentiasa bergaul dengan semua orang di kedai-kedai kopi dan membantu mereka dalam pelbagai perkara.

Di kalangan orang Melayu, saya juga berharap ramai yang akan bangkit dalam pelbagai bidang dan bersama-sama memajukan negara di era baru ini.


STEPHEN NG adalah seorang penulis yang sentiasa mengikuti perkembangan politik negara sejak 2008.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen