malaysiakini logo
story-image
ADS

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan cadangan kerajaan melantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara Malaysia yang baru menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Merujuk kepada kenyataan Istana Negara bertarikh 4 Jun 2018, Abim mengharapkan keputusan ini dapat meredakan spekulasi terhadap jawatan tersebut.

Abim menyambut baik pendekatan berhikmah yang diamalkan melalui rundingan dan perbincangan yang dibuat untuk mengelakkan polemik berkenaan membara hingga mencetuskan krisis perlembagaan antara Agong dan badan eksekutif.

Sekiranya berlaku, ia hanya akan merugikan rakyat.

Dari sisi positif secara keseluruhan Abim menilai polemik tersebut menunjukkan tahap keprihatinan, kecelikan dan pembabitan rakyat dalam proses politik amat tinggi selepas pilihan raya umum (PRU) lalu.

Walaupun keadaan tersebut adalah indikasi positif terhadap tahap kesedaran demokrasi serta kewarganegaraan dalam kalangan rakyat, namun ia perlu dicermati dan diuruskan dengan penuh kewaspadaan.

Dalam hal ini Abim merujuk kepada titah Agong yang menafikan semua spekulasi negatif yang cuba disemarakkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Penyelesaian polemik ini adalah petanda positif terhadap reformasi institusi yang sedang digerakkan selepas PRU ke-14.

Abim menegaskan bahawa reformasi dalam institusi perundangan sangat penting kerana ia adalah simbol kepada keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.

Antaranya ialah menempatkan jawatan peguam negara setaraf dengan peranan seorang menteri yang bertanggungjawab untuk dinilai di parlimen.

Susulan daripada titah Agong berhubung isu ini, ia secara langsung akan mengukuhkan kedaulatan institusi raja berperlembagaan yang menaungi aspirasi dan harapan rakyat.

Abim juga mengharapkan susulan daripada terungkainya polemik ini, ia dapat dijadikan pedoman untuk mengemudi gelombang perubahan secara berhikmah.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ ialah setiausaha agung Abim.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen