malaysiakini logo
story-image
ADS

Mac 2004 - pilihan raya umum (PRU) ke-11. Beliau baru dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan.

Mengetuai antara kempen terbaik parti itu di Kelantan hingga akhirnya cuma kurang dua kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

Malam pengumuman keputusan, ramai mendesak supaya beliau 'membeli' dua orang anggota dewan undangan negeri (ADUN) dari sebelah satu lagi.

Kata mereka, ini peluang terhidang untuk Umno kembali berkuasa di bumi Kelantan. Matlamat menghalalkan cara.

Tetapi beliau enggan. Suara rakyat perlu dihormati. Prinsip demokrasi perlu dijulang tinggi. Kerana kedegilan itu ramai mendesak beliau tidak terus dilantik Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan.

Kata mereka, beliau tidak pandai berpolitik, tidak ada taring.

Pengerusi perhubungan yang baru kemudian dilantik. Beliau lebih bertaring. Sudahnya, daripada 21 kerusi milik Umno cuma tinggal enam pada PRU seterusnya.

September 2004 - pemilihan UMNO. Beliau mendapat pencalonan tertinggi bagi jawatan naib presiden. Namun akhirnya tidak memenangi jawatan tersebut kerana enggan terlibat dalam politik wang.

Tanyalah sesiapa yang terlibat dengan pemilihan tersebut. Jawapan mudah perwakilan ketika itu - calon lain beri sampul berisi wang, beliau beri sampul berisi undangan makan malam sahaja.

Menyumbang, tak terumbang-ambing

Yang menang jawatan naib presiden kemudiannya digantung keahlian Umno kerana terlibat dalam politik wang!

Empat belas tahun kemudian tibalah PRU ke-14. Tsunami Rakyat membadai Umno dan BN dengan begitu dahsyat sehingga tergugur dari tampuk kuasa.

Tetapi susuk ini bukan sahaja menongkah arus, malah majoriti di kedua-dua kerusi DUN dan parlimen yang ditandingi beliau bertambah.

Hasrat mengambil alih pemerintahan Kelantan tidak kesampaian. Namun Kelantan kekal menyumbang lima kerusi Dewan Rakyat kepada BN, di saat negeri lain terumbang-ambing dan terkontang-kanting.

Hari ini, tatkala sayap dan paruh Umno patah, nama beliau disebut untuk mengemudi bahtera ini.

Apakah Tok Pa calon paling sesuai?

Pertama, benar beliau tidak pandai bermain politik. Namun apa yang dibawa adalah kejujuran dan nawaitu suci.

Sekiranya ditakdirkan terpilih, ia akan memberi isyarat jelas kepada akar umbi mengenai penolakan budaya politik wang dan warlord yang sekian lama membelenggu Umno.

Ini akan membebaskan Umno daripada amalan negatif ini untuk tahun-tahun mendatang.

Kedua, beliau bukanlah lawan kepada Dr Mahathir Mohamad atau Anwar Ibrahim. Tetapi ini bukan soal menyaingi Pakatan Harapan. Ini soal meletakkan calon terbaik untuk menerajui reformasi dalaman Umno.

Dan apabila tugas ini selesai, tampuk kuasa boleh diserahkan kepada mereka yang difikirkan lebih banyak.

Silakan bersikap jumud

Masih ada ruang untuk pemilihan Umno diadakan sekali lagi, kemungkinan setahun atau dua, menjelang PRU ke-15.

Hakikatnya adalah, sekiranya Umno tidak berubah, letaklah siapa sekalipun, pasti gerak langkahnya tetap pincang.

Ketiga, kerusi tertinggi Umno tidak boleh lagi disandang oleh golongan warlord mahupun bangsawan. Hanya rakyat biasa yang mampu menyelami denyut nadi akar umbi rakyat.

Umno perlu kembali kepada fitrah – yakni sebagai parti rakyat biasa. Cara terbaik adalah dengan meletakkan salah seorang rakyat biasa di tampuk kepimpinan.

Keempat, sentimen akar umbi - termasuklah di media sosial - jangan sesekali diketepikan. Ramai menyatakan sokongan kepada beliau.

Rakyat, termasuklah di luar lingkungan penyokong Umno sendiri, memberi bayangan bahawa keyakinan terhadap Umno dapat diperbaiki sekiranya orang yang jujur diangkat ke pimpinan tertinggi.

Mahu terus bersikap jumud dan tidak menghiraukan sentimen ini? Silakan. Kalian lihatlah sendiri apa yang terjadi di PRU ke-14.

Kelima dan yang terakhir, bersandarkan kepada kepercayaan bahawa Tok Pa adalah antara pemimpin yang diketahui umum langsung tidak memiliki cita-cita politik, menjadikan beliau calon terbaik untuk merevolusikan Umno.

PRU ke-14 menyaksikan keazaman membara rakyat yang berani untuk berubah. Keberanian sama perlu dizahirkan oleh Umno.

Rakyat memerhatikan setiap gerak-geri. Umno perlu memilih antara dua perhitungan yang jelas - sama ada memilih kepimpinan yang mampu memulihkan keyakinan rakyat, atau terus hidup dengan cara dan pemikiran lama.

Demi masa hadapan Umno dan kelangsungan perjuangan menjulang martabat agama, bangsa dan negara, tolonglah Tok Pa. Tawarkanlah diri bertanding sebagai presiden Umno.


NOAH ZAIN ialah pembaca Malaysiakini.

Catatan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

Lihat Komen