malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Pembangkang berilmu, bukan sentimen agama kaum
ADS

Sepanjang kempen pilihanraya umum yang lalu, isu utama yang dibawa oleh Pakatan Harapan (HARAPAN) adalah skandal besar 1MDB dan cukai melata GST. Manakala di laman sosial, isu tambahan yang rakyat Malaysia bahaskan juga adalah dakyah pembodohan dengan menggunakan hujah dangkal dan sentimen agama kaum yang dibawa pimpinan Barisan Nasional (BN) dan parti politik yang lain pada masa itu.

Keputusan bagi kerusi-kerusi parlimen menunjukkan bahawa rakyat bersama dengan HARAPAN dan sekutunya, mengundi 10 janji 100 hari Buku HARAPAN yang antaranya adalah menghapuskan GST dan menyiasat skandal kewangan, sekaligus menolak kepimpinan BN yang terpalit dengan skandal besar 1MDB, cukai melata GST dan juga dakyah pembodohan yang menggunakan hujah-hujah dangkal bersalut sentimen agama dan kaum.

Secara sintesis, barangkali boleh kita simpulkan bahawa majoriti rakyat telah membulat tekad untuk menolak urus tadbir yang terpalit skandal rasuah yang mengkhianati amanah rakyat, menolak dasar ekonomi yang menekan sara hidup rakyat dan menolak politik yang berterusan membodohkan rakyat.

Boleh jadi ketumbukan yang rakyat tunjukkan dalam pilihanraya kali ini menggambarkan, yang rakyat mahukan perubahan yang lebih baik dalam urustadbir di Putrajaya supaya menjadi lebih bersih, dasar ekonomi yang dilaksanakan lebih menyebelahi rakyat dan juga pendekatan politik menjadi lebih matang dan mencerdaskan.

Dan ianya juga boleh jadi satu persetujuan rakyat kepada model HARAPAN itu sendiri iaitu kepimpinan majmuk yang menggambarkan komposisi masyarakat Malaysia, pendekatan yang sederhana lagi sesuai dengan semua fahaman masyarakat dan satu simbol yang menggambarkan jenama pakatan itu.

Hari ini, parti yang rakyat tolak telah menjadi pembangkang. Pimpinan HARAPAN yang sudah menjawat jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan sedang berusaha sedaya mungkin, menepati manifesto Buku HARAPAN seperti yang dijanjikan kepada rakyat ketika pilihanraya lalu. Suasana pada masa ini sangat baik dengan pengumuman-pengumuman yang menarik setiap minggu.

Walaupun ada percanggahan awal dalam susunan Kabinet yang ditegur oleh rakyat, namun tindakan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir, yang membetulkan tindakan tersebut, lagi menyebabkan rakyat semakin tertawan dengan pentadbiran baru di Putrajaya. Barangkali ini perasaan yang tok nenek kita nikmati ketika negara mengecapi kemerdekaan pada tahun 1957 dan 1963; gembira dan memaafkan segala kekurangan.

Bentuk pembangkang berwibawa

Dalam suasana begini, pembangkang hari ini, yang terpinga-pinga dan terkejut dengan keputusan pilihanraya umum yang lalu mula bergerak perlahan-lahan, menyusun program pemulihan.

Mereka menggagaskan agenda pembangkang berwibawa. Dalam kacau bilau reaksi penyokong, ada beberapa idea pemulihan dicadangkan seperti hal pertandingan jawatan tertinggi parti, malah ada juga cadangan yang sudah terlaksana lebib awal seperti perletakkan jawatan pemimpin tertinggi parti pembangkang atas kekalahan teruk mereka. Namun setakat ini ianya bukanlah satu bentuk perubahan total atau reform tetapi lebih kepada pembaikan kecil-kecilan.

Selama hampir 20 tahun, rakyat sudah biasa dengan gaya pembangkang yang majmuk, berkempen nilai integriti dengan tegar, pada masa yang sama punyai pendekatan moderat yang sesuai dengan majoriti golongan, dan juga menghidupkan politik yang membahaskan dasar dengan fakta, angka dan sandaran ilmu pengetahuan, bukan sentimen agama kaum dan hujah dangkal.

Malah, rakyat telah memilih pembangkang dengan ciri itu untuk menjadi pentadbir kerajaan Malaysia hari ini. Ini menunjukkan bahawa itulah ciri pembangkang yang rakyat telah perakui; dasar politik yang demokratik, dasar ekonomi yang merakyat dan cara urustadbir yang berintegriti.

Perkauman sempit, keagamaan kolot

Maka, sekurang-kurangnya ciri ini juga-lah tahap kualiti pembangkang yang diizinkan untuk hari ini, jika Barisan Nasional mahu mendapatkan semula perhatian rakyat. Sepertimana Pakatan Harapan dinilai kerjanya dalam 100 hari pentadbiran Kerajaan, begitu juga tapak kepada kerja-kerja pembaharuan pembangkang harus bermula dalam 100 hari ini juga.

Penerusan politik perkauman yang sempit dan keagamaan yang kolot, juga pembodohan dengan hujah dangkal, solusi ekonomi yang tidak merakyat dan cara urustadbir yang masih lagi berunsur rasuah, akan ditolak bulat-bulat oleh rakyat kerana tahap kualiti rakyat tentang demokrasi, ekonomi dan integriti sudah melonjak ke tahap yang luar biasa selepas pilihanraya umum kali ini.

Itu tadi hanya ciri-ciri yang rakyat tetapkan kepada pembangkang untuk kekal relevan di persada politik tanah air buat masa ini. Tetapi, jika pembangkang bercita-cita untuk menarik minat rakyat dengan lebih lagi, kelompok-kelompok politik pembangkang harus berikhtiar membawa politik yang jauh lebih maju daripada Pakatan Harapan.

Persaingan politik yang akan datang boleh jadi lebih sengit. Jika ini dapat dicapai oleh pembangkang dalam masa 5 tahun, tidak mustahil pembangkang di Malaysia boleh kembali beraksi seperti Parti Liberal Demokratik(LDP) di Jepun.

Imaginasi rakyat merenung bahawa pembangkang akan menjadi lebih berwibawa dalam masa 20 tahun yang akan datang apabila pembangkang berjaya mencairkan kelompok komponen mereka menjadi satu kesatuan politik yang mewakili bangsa Malaysia, di mana fahaman politik mereka adalah kemanusiaan sejagat yang penuh rahmah kepada semua, bukan lagi nasionalisme tetapi internasionalisme, dengan bervisi peradaban.

Dasar ekonomi mereka pula bukan sahaja merakyat tetapi mampu membawa negara menjadi kuasa ekonomi dunia yang memakmurkan umat pelbagai rantau pelusuk dunia. Dan daripada segi pentadbiran pula, mereka bukan sahaja demokratik dan memperkasa rakyat tetapi mengurus dengan adil dan ihsan kepada semua yang berlindung di dalam ruang kuasa dan pengaruh pentadbirannya.

Ini imaginasi rakyat untuk masa depan pembangkang yang berwibawa atau pun masa itu nanti lebih layak digelar penyeimbang kerajaan. Kualiti yang rendah daripada ini, hanya melayakkan pembangkang hari ini kekal sebagai pembangkang sahaja, selama 60 tahun lagi.


YASIR TAMIZI ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen