malaysiakini logo
story-image
ADS

Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) ingin mengucapkan tahniah kepada Pakatan Harapan atas kemenangan bersejarah mereka pada 9 Mei 2018.

Kami bersyukur dan gembira bahawa kedua-dua kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri yang baru dipilih bertekad melaksanakan manifesto masing-masing.

Kami percaya dengan komitmen yang serius untuk membawa pembaharuan yang diperlukan bagi membina semula Malaysia menjadi satu masyarakat yang progresif dan menyeluruh, termasuk melibatkan golongan kurang upaya serta kumpulan minoriti yang lain.

Sebelum PRU ke-13, SPR mengambil langkah positif mengubah peraturan untuk pengundi buta.

Di bawah peraturan yang dipinda itu, Peraturan 19 (10) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, seorang pengundi buta dibenarkan membawa ahli keluarga atau kawan yang dipercayai - asalkan warganegara Malaysia berusia 21 tahun ke atas - untuk membantu pengundi buta menandakan kertas undinya.

Sebelum perubahan ini, hanya pegawai yang berkuasa - walaupun tidak dikenali pengundi buta - dibenarkan untuk membantu pengundi buta.

Kami kesal bahawa dalam PRU ke-14 baru-baru ini, walaupun terdapat pindaan yang disebutkan di atas, beberapa pengundi buta tidak dibenarkan mengundi mengikut peraturan yang sudah dipinda.

SBM mendesak SPR supaya memastikan bahawa pada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil akan datang, semua pegawai pilihan raya diberi taklimat yang sebaiknya tentang prosedur mengundi untuk pengundi buta.

Kami percaya bahawa semua pengundi sepatutnya dapat membuang undi dengan keyakinan bahawa undi mereka ditanda mengikut pilihan mereka.


MOHAMMED NAZARI OTHMAN ialah presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia.

Surat ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen