malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Maszlee pilihan terbaik uruskan Kementerian Pendidikan
ADS

Menarik sungguh sosok yang bergelar Dr Maszlee Malik ini.

Semalam pengumuman pelantikan beliau sebagai menteri pendidikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad mendatangkan satu arus keraian (festive) dan euforia di media sosial.

Majoriti anak muda yang mengenalinya melalui pelbagai medium dilihat teruja dengan pelantikan berkenaan. Ia adalah satu lagi arus keterujaan setelah pelantikan 'Abang Mat Rambo sebagai menteri pertahanan pada Ahad lepas.

Saya kira keterujaan ini pasti ada asasnya.

Pada saya pelantikan Maszlee sebagai menteri pendidikan adalah takdir beliau. Sejak pengumuman penglibatan beliau dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan dicalonkan bertanding di Simpang Renggam, masyarakat sudah menjangkakan beliau akan mengisi posisi sekurang-kurangnya timbalan menteri jika menang.

Latarbelakang akademik yang kuat di samping penglibatan di dalam kempen Teach for the Needs (TFTN), Pusat Pendidikan Down-Syndrome Orkids (Orkids), Ideas Autism Centre, Lembaga Pendidikan Al-Amin dan Pertubuhan Ikram Malaysia serta penglibatan aktif dalam forum-forum intelektual dan pendidikan cukup menjustifikasikan mengapa beliau seorang yang sesuai untuk posisi berkenaan.

Menariknya, terdapat dua arus yang tidak senang dengan peantikan beliau. Pertama, golongan liberal yang dilihat terganggu dengan latar belakang Islamis beliau sehingga dikaitkan dengan gerakan Muslim Botherhood (Ikhwan Muslimin) dan digelar ekstremis agama.

Kedua golongan Islamis dalam almari yang mendakwa Maszlee sebagai seorang yang proliberalisme dan pluralisme.

Saya pernah dengar tuduhan ironi begini pada satu susuk yang cukup berpengaruh dalam arus pascaislamisme iaitu Dr Tariq Ramadhan.

Beliau seorang tokoh Arab-Perancis yang cukup berkarisma dan berpengaruh dalam membicarakan bagaimana mengharmonikan barat dan Islam, dan bagaimana masa depan adalah untuk kita hadapi bersama.

Beliau dituduh sebagai ekstremis di Barat kerana sokongan beliau terhadap Hamas dan pertalian keluarga dengan pengasas Ikhwanul Muslimin, Almarhum Syeikh Hassan al-Banna.

Pada masa sama Tariq juga dituduh sebagai liberalis di blok Islam kerana pandangan beliau yang agak terbuka dalam beberapa isu semasa.

Saya simpulkan kegusaran dua golongan ini dengan mengatakan bahawa Maszlee ialah individu paling ideal untuk mengharmonikan dan mempertemukan dua arus saling bertentangan dan bercakaran ini.

Di dalam dunia, tiada yang ideal dan tidak boleh tidak, pertembungan idea ini perlu diuruskan dengan baik dan penuh harmoni.

Kemenangan ini adalah kemenangan rakyat seluruhnya dan bukan mana-mana kelompok atau golongan.

Mengisi kemenangan ini memerlukan orang yang adil dan pintar untuk menguruskan perbezaan.

Menganalisis Maszlee melalui beberapa forum, tulisan dan video yang tular di media sosial menonjolkan bagaimana Malaysia - sebagai sebuah negara Islam moderat - ketandusan tokoh berkarisma yang mampu berhujah dalam kerangka Islam mengikut 'discourse' liberal dan plural.

Pada masa sama beliau mampu memuaskan hati para audien melalui hujah yang tidak lari dari kerangka syariah.

Tidak ramai - atau boleh saya katakan belum ada lagi - tokoh yang mampu sampai ke tahap Maszlee semasa memasuki gelanggang golongan liberal yang memerlukan penghuraian Islam dengan pemikiran aras tinggi, dan pada masa yang sama tidak 'melt-down' apabila diasak dengan soalan yang cukup sensitif dan provokatif.

Saya kira ini merupakan kerangka dakwah dalam arus moden.

Semoga Maszlee mampu melaksanakan tugas, tanggungjawab dan amanah baru beliau sebaiknya, dan membina Malaysia baru dalam kerangka sistem pendidikan yang lebih manusiawi, holistik dan mampu menyediakan modal insan yang seimbang duniawi dan ukhrawi.


MOHD SHAZWAN ABD HALIM ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

Lihat Komen