malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
AS 'kotakan janji', mula pindah kedutaan ke Baitulmuqaddis
ADS

Pada 6 Disember 2017, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah mengeluarkan satu kenyataan kontroversi dengan mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Sebagai komitmen kepada pengiktirafan tersebut, Trump turut menjanjikan bahawa kedutaan Amerika Syarikat di Israel akan dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.

Dalam hal ini, sikap Trump berpotensi menatijahkan kepada beberapa implikasi yang besar.

Sikap Trump tersebut telah mengundang bantahan pelbagai pihak, antaranya 128 buah negara yang menyatakan bantahan terhadap pengisytiharan Trump dalam persidangan PBB yang lalu.

Selain itu, pendirian Amerika Syarikat turut berpotensi mencetuskan ketidakstabilan di rantau Asia Barat, sekali gus mengeruhkan lagi kecamukan sedia ada di rantau tersebut.

Namun, implikasi terbesar dari pengisytiharan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel ialah pengiktirafan ke atas negara haram tersebut akan kuasa autonomi yang sepenuhnya di wilayah Baitulmaqdis; iaitu wilayah yang tidak ditentukan statusnya sejak tujuh dekad lalu oleh autoriti di peringkat antarabangsa.

Meskipun tindakan Trump tersebut dilihat sebagai suatu perkembangan yang drastik, namun hakikatnya ia hanyalah merupakan kesinambungan daripada keinginan Presiden-presiden Amerika Syarikat sebelumnya yang sentiasa menjalankan dasar memelihara kepentingan negara haram Israel di rantau Asia Barat.

Pada hari ini 14 Mei, pihak Amerika Syarikat telah ‘mengotakan janji’ mereka dengan memulakan inisiatif memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.

Proses ini dilakukan sebagai persediaan menjelang tarikh 15 Mei 2018; iaitu tarikh simbolik kepada genap tujuh dekad penjarahan Israel ke atas bumi Palestin.

Pihak Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak Amerika Syarikat yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

PUM melihat, pengiktirafan tersebut dilakukan tanpa mengambil kira sensitiviti umat Islam, khususnya masyarakat Palestin sendiri.

Selain itu, adalah jelas bahawa tindakan Amerika Syarikat tersebut turut menzahirkan sikapnya yang tidak menghormati pendirian masyarakat dunia jika mengambil kira 128 buah negara yang membantah pendirian Amerika Syarikat dalam persidangan PBB yang lalu berhubung isu ini.

Dengan ini, PUM turut mendesak kerajaan Malaysia yang baru menerima mandat oleh rakyat Malaysia untuk turut menyatakan bantahan secara keras terhadap sikap Amerika Syarikat ini.

Kerajaan Malaysia perlulah mengeluarkan pendirian rasmi berhubung hal ini di samping menyeru kepada persidangan tergempar OIC bagi membincangkan perkembangan yang sedang berlaku di Baitulmuqaddis.

Pada masa yang sama, PUM juga ingin menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap rakyat Palestin yang sedang mengambil bahagian dalam Perarakan Pulang Besar-besaran (Great Return March-GRM) di Semenanjung Gaza.

PUM menyatakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin yang berterusan berjuang bagi menuntut hak mereka yang telah dinafikan di tanah air sendiri.

Akhir sekali, PUM mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan padu dan mengirimkan doa buat perjuangan rakyat di Palestin sehingga mereka beroleh kemenangan.


DATUK AL-SHEIKH ABDUL HALIM ABDUL KADIR ialah yang dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM).

Lihat Komen