malaysiakini logo
story-image
ADS

PRU14 | Saudara dan saudari yang dikasihi, tepat jam 8.00 pagi esok, pusat-pusat pengundian akan dibuka di seluruh negara. Proses pengundian Pilihan Raya Umum Ke-14 akan dijalankan sehingga jam 5.00 petang.

Dalam masa sembilan jam ini saudara dan saudari akan menentukan masa depan negara.
Sesungguhnya kita berada di persimpangan masa depan negara yang tercinta ini.

Tiada siapa yang dapat menafikan 5 tahun kebelakangan ini amat memeritkan sekali. Walaupun kita didendangkan bahawa ekonomi negara berkembang dengan pesat, namun rakyat menderita memikul bebanan kenaikan kos sara hidup dan GST.

Rakyat semua telah lali mendengar  isu-isu berkenaan skandal 1MDB, MARA, FELDA, dan lain-lain. Namun penguasa tidak peduli dengan suara-suara kebenaran dan keadilan.

Sementelah negara jiran pula telah menggelar Negara Malaysia sebagai “Negara Kleptokrat” yang jelas telah memalukan negara Malaysia.

Saudara dan saudari yang dikasihi, betapa hebatnya kuasa rakyat. Dengan hanya memangkah simbol mata keadilan, bermulalah era reformasi yang diperjuangkan selama ini.

Dengan hanya memangkah simbol mata keadilan, sebuah kerajaan yang adil dan benar akan memerintah. Dengan hanya memangkah simbol mata keadilan Malaysia akan jadi lebih baik.

Saya merayu supaya saudara dan saudari menggunakan peluang ini untuk memastikan segala harapan kita menjadi kenyataan.

Gunakanlah peluang yang diberikan supaya 9 Mei ini terpahat di dalam sejarah sebagai Hari Kemenangan Rakyat.

Ikhlas daripada Dr Wan Azizah Wan Ismail.

 


 

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan calon timbalan perdana menteri HARAPAN.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen