malaysiakini logo
story-image
ADS

Nama ini – Haji Mohd Anuar Tahir, sangat sinonim dengan perjuangan kemanusiaan serta kemasyarakatan. Dilahirkan pada tahun 1952 di Beseri, Perlis, beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sosiologi dari Morehead State University, Amerika Syarikat.

Antara sebab beliau dikenang ialah komitmen beliau dalam menggerakkan institusi pendidikan bagi membantu anak bangsa yang tidak bernasib baik dan yang tercicir pada peringkat SRP/LCE, SPM/MCE dan STP/HSC. Beliau mempelopori penubuhan Institut Sofar yang sangat masyhur di Ipoh, di mana model asal sekolah swasta tersebut diambil daripada Yayasan Anda Akademik (YAA) yang digerakkan oleh Presiden ABIM ketika itu, Sdr Anwar Ibrahim (kini Datuk Seri).

Para pelajar sekolah ini dikenakan yuran pengajian yang minimum supaya mereka dapat meneruskan pelajaran sehingga ke peringkat universiti. Hari ini, ramai tokoh-tokoh akademik, politik, perbankan, serta pelbagai bidang yang lain tampil menyumbang bakti kepada masyarakat, selepas mereka dapat mendaftar ke universiti, setelah lulus dari Institut Sofar. ABIM juga membangunkan Taman Asuhan kanak-kanak Islam (TASKI), Sekolah Rendah Islam (SERI), Sekolah Menengah Islam (SEMI), dan TAHFIZ ABIM sejak 1970an.

Selain berkhidmat selaku pengasas dan pendaftar kepada Institut Sofar (1975-1980), Haji Anuar Tahir juga merupakan Setiausaha Pengelola ABIM Pusat dan Wakil SAAR Foundation Inc., selain menjawat jawatan Setiausaha Institut Kajian Dasar (IKD) pada tahun 1986. Bakat kepimpinan dan pengurusan beliau juga digilap semasa tempoh berkhidmat sebagai Setiausaha Agung ABIM (1987-1996); Naib Presiden Antarabangsa ABIM – 1996; serta Ketua Eksekutif Yayasan Salam Malaysia (SALAM) (1997).

Pada peringkat nasional, Haji Anuar Tahir aktif selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Majlis Belia Malaysia (MBM) – 1986; Ahli Majlis Perunding Belia Negara (MPBN) – 1986; Ahli Jawatankuasa Pendidikan dan Latihan Majlis Belia Asia (AYC); Ahli Pemegang Amanah Badan Penyelidikan Masyarakat (MSRI) – (1986-1998); serta Setiausaha Kongres Kepentingan Bangsa.

Pada peringkat antarabangsa, beliau pernah terlibat secara langsung sebagai AJK Eksekutif Persekutuan Pelajar-Pelajar Islam Antarabangsa (IIFSO) - (1987-1998); AJK Eksekutif Himpunan Belia Islam Sedunia (WAMY) - (1989-1998); AJK Tindakan Islam dalam Bidang Dakwah OIC, Jedah (1987-1998); Pengasas Yayasan El-Taller, Tunisia – 1987; serta Wali Amanah Dialog Dakwah Serantau, Jakarta – 1988.

Pengalaman beliau selaku aktivis politik adalah signifikan, di mana beliau merupakan antara pengasas Parti Keadilan Nasional (PKR) dan menjadi Setiausaha Agung yang pertama – 1998 hingga 2000. Beliau juga pernah terlibat selaku AJK Parti Islam SeMalaysia (PAS Pusat) dari 2005 hingga 2015; selain AJK Induk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) – (2007).

Menariknya, Haji Mohd Anuar Tahir selain membidani kelahiran PKR dan AMANAH apabila menjadi antara pengasas dan Setiausaha Agung pertama bagi kedua-dua parti tersebut, beliau juga merupakan Anggota Majlis Presiden Pakatan Harapan – (2015 – sekarang); Anggota Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (2015 – sekarang) serta AJK Disiplin Majlis Peguam Malaysia (1986 – sekarang). Selain terkenal dengan kepemimpinan badan-badan dakwah Islam dan politik, tokoh yang kaya dengan pengetahuan dan pengalaman dalam bidang organisasi ini sangat sinonim sebagai pencinta bahasa dan sastera.

Nyata, kecemerlangan latar belakang beliau bukan hanya sesuai untuk disimpan dalam almari buku; sebaliknya dimanfaatkan oleh rakyat, khususnya oleh para pengundi di P088 (Parlimen Temerloh). Pemimpin yang komited serta bersih seperti inilah yang selayaknya dipilih selaku Ahli Parlimen Temerloh. Buat penduduk Temerloh, zahirkanlah solidariti serta sokongan kalian buat tokoh dan pejuang masyarakat ini!

Lihat Komen