malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Hormati komitmen terhadap kebebasan media
ADS

Dalam masa kurang daripada seminggu, maka tibanya Hari Kebebasan Akhbar Sedunia.

Tema tahun ini adalah "Memastikan Kuasa Dipantau: Media, Badan Kehakiman, dan Kedaulatan Undang-Undang" yang memberi tumpuan kepada kepentingan mewujudkan persekitaran undang-undang yang kondusif kepada kebebasan akhbar.

Ia juga menyeru supaya memberi perhatian kepada peranan badan kehakiman yang bebas dalam memberi jaminan undang-undang untuk kebebasan akhbar dan pendakwaan jenayah terhadap wartawan.

Selain itu, ia juga meliputi peranan media sebagai badan pemantau demi ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang, malah dari segi pembangunan mampan, terutamanya peranan media semasa pilihan raya, serta perundangan bagi kebebasan bersuara dan kebebasan maklumat dalam talian dan risiko mengawal selia ucapan dalam talian.

Kami berpendapat bahawa isu yang diberi tumpuan bagi tema ini seiring dengan perkara yang sedang berlaku dalam negara kita dan yang dihadapi oleh media.

Pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) bakal diadakan pada 9 Mei, sebelum itu, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah meluluskan RUU Antiberita Tidak Benar 2018 dengan cepat dan berkuatkuasa pada 11 April.

Walaupun kerajaan Najib berulang kali menegaskan bahawa Akta Antiberita Tidak Benar tidak menyekat kebebasan media, tetapi taksiran berita palsu yang terlalu luas dan tidak mempunyai standard yang jelas dalam Akta ini memudahkan kerajaan menyekat kebebasan media dan bersuara atas alasan berita palsu.

Langkah-langkah bagi menangani berita palsu ini sebenarnya telah sekali lagi memperkukuhkan sekatan terhadap media.

Media sebagai kuasa keempat dalam negara memainkan peranan pemantau di bawah peruntukan undang-undang yang menjamin kebebasan media. Akan tetapi, kerajaan BN sekali lagi melemahkan peranan pemantau media dengan meluluskan undang-undang yang ketat.

Pengawasan dan penapisan yang berlebihan ini telah mencetuskan cabaran kepada kebebasan media.

Pada masa sama, disebabkan berhampiran dengan pilihan raya umum, Akta Antiberita Tidak Benar berkemungkinan menjadi senjata bagi pihak berkuasa untuk menyerang seteru politik mereka, termasuk media yang memaparkan berita yang “dianggap” negatif terhadap kerajaan BN.

Seperti apa yang berlaku sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Huan Cheng Guan menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak terhadap portal berita Malaysiakini yang didakwa memutarbelitkan fakta dalam laporan mereka mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Sementara Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tidak perlu balik mengundi jika tidak mendapat kebenaran majikan dan ini adalah melanggar Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Selain itu, apa yang pelik ialah Akta berkenaan bukan diletak di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia tetapi di Jabatan Perdana Menteri. Adakah ini untuk memudahkan perdana menteri menggunakan Akta ini untuk menyerang pihak pembangkang?

Tambahan lagi, Malaysia adalah berada di kedudukan 145 dalam Indeks Kebebasan Akhbar yang dikeluarkan oleh Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) tahun ini. Ia berada di "blok merah" di mana laporan berita adalah tidak bebas.

Kedudukan Malaysia adalah lebih rendah daripada negara-negara Asia Tenggara yang lain seperti Indonesia (124) dan Filipina (133). Menurut RSF, Malaysia mempunyai pelbagai undang-undang yang memberi ancaman kepada media dan wartawan termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi, dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Walau bagaimanapun, kerajaan BN tidak mengambil tindakan sama ada membuat pindaan atau memansuhkan undang-undang yang menyekat kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara malah melancarkan Akta Antiberita Tidak Benar untuk menyekatkan kebebasan media dan akhbar dengan selanjutnya.

Kami berpendapat bahawa, indeks kebebasan akhbar Malaysia akan terus jatuh jika undang-undang zalim masih wujud.

Kerajaan Najib sering kali mengatakan akan memberi kebebasan kepada media untuk melaksanakan tugas mereka, tetapi kebebasan yang disebut itu adalah terhad di bawah sekatan undang-undang.

Pada Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, kami ingin mengingatkan kerajaan sementara dan “kerajaan akan datang” (government-in-waiting) supaya menghormati komitmennya terhadap kebebasan media, tidak menyalahgunakan kuasa dan undang-undang yang zalim untuk menyekat kebebasan media, dan mengkaji semula undang-undang yang ada, melindungi kebebasan media dan akhbar, serta mewujudkan persekitaran media yang lebih baik.


OOI HENG adalah pengarah eksekutif Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen