malaysiakini logo
story-image
ADS

Ahli falsafah Greek purba, Heraclitus menegaskan bahawa perubahan adalah hakikat dalam kehidupan duniawi. Ayat-ayat dalam kitab al-Quranul Karim sendiri menekankan berkenaan pentingnya perubahan serta akibat buruk kepada golongan yang enggan mengubah diri mereka.

Perkara ini disentuh secara jelas dalam Surah An-Najm (Ayat 39-41) serta Surah Al-Mu’min (Ayat 82).

Mengambil semangat serta gagasan ‘perubahan’ ini, pemimpin anak muda bernama Nik Nazmi Nik Ahmad dengan nekad dan berani memilih untuk bertanding di kawasan Parlimen Setiawangsa, meskipun boleh terus berada dalam zon selamat, selepas menang sebanyak dua kali di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia selama dua penggal.

Umno-BN sudah sejak sekian lama ‘menjajah’ minda rakyat bahawa mereka sahajalah yang layak memimpin kerajaan, meski rekod serta catatan sejarah secara jelas membuktikan kebobrokan mereka.

Sudah berdekad lamanya mereka bermaharajalela, dan menjadi tanggungjawab kita semua membawa perubahan kepada kawasan Setiawangsa.

Suami kepada seorang doktor perubatan, Dr Imaan Abdul Rahim dan bapa kepada seorang anak yang comel (Nik Ilhan), Nik Nazmi dilahirkan di Kuala Lumpur pada tahun 1982 dan membesar di Petaling Jaya sebagai anak bongsu daripada lima adik-beradik.

Menerima pendidikan awal di SRK La Salle Petaling Jaya, peminat tegar sukan bola sepak ini kemudiannya dipilih untuk masuk ke Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Ketika di MCKK, beliau telah menganggotai skuad debat Bahasa Melayu yang menjuarai Piala Dato’ Shukor Abdullah dan juga Piala Perdana Menteri pada tahun 1999.

Ketika menuntut di Kolej Yayasan UEM untuk pengajian A-Levels, Nik Nazmi telah dipilih sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Pada tahun 2002, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perundangan di King’s College University of London.

Sebagai mahasiswa, beliau aktif dalam pelbagai persatuan seperti King’s College London Malaysia Singapore Society, Kesatuan Penuntut Undang-Undang Malaysia, Majlis Perwakilan Pelajar United Kindgom & Eire (UKEC), King’s College London Labour Students dan Persekutuan Pelajar-Pelajar Islam United Kingdom & Eire (FOSIS).

Di samping itu, beliau juga pernah menjadi fasilitator bagi Projek Kalsom di Terengganu pada tahun 2004, sebuah program motivasi bagi pelajar pelajar luar bandar yang kurang bernasib baik.

Beliau juga telah dilantik sebagai wakil untuk King’s College bagi Persidangan Kebangsaan untuk Kesatuan Pelajar Pelajar UK (NUS Students Conference) pada tahun 2005.

Penglibatan dalam arena politik Malaysia bermula melalui penyertaan beliau dalam Unit Pendidikan Politik, Institut Kajian Dasar (IKD).

Setelah tamat pengajian tinggi beliau pada tahun 2005, beliau pulang ke Malaysia untuk berkhidmat sebagai eksekutif di Permodalan Nasional Berhad (PNB), sebelum berkhidmat selaku setiausaha sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada tahun 2007, beliau telah dilantik sebagai exco Pemuda PKR (AMK). Pada pemilihan parti 2014, beliau telah dipilih sebagai ketua AMK yang ketiga selepas Ezam Mohd Nor dan Shamsul Iskandar Md Akin.

Nik Nazmi merupakan calon paling muda bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke-12, dan menang di Seri Setia.

Beliau berpengalaman selaku timbalan speaker DUN Selangor, selepas menang dalam PRU ke-13.

Selain itu, Nik Nazmi pernah berkhidmat selaku exco pendidikan, pembangunan modal insan, sains, teknologi dan inovasi, negeri Selangor.

Sementelah, beliau pernah menganggotai Jawatankuasa Terpilih Khas Kewibawaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT), Jawatankuasa Terpilih Pembasmian Kemiskinan dan Jawatankuasa Pengurusan Dewan.

Beliau turut menjadi pengerusi Lembaga Pengelola Universiti Selangor yang pertama, selain ahli Lembaga Pengarah Universiti Selangor, Yayasan Selangor dan Institut Darul Ehsan.

Pelbagai institusi termasuk Universiti Oxford, Cambridge, Stanford, Melbourne, Universiti Nasional Australia, Institut Pengajian Asia Tenggara Singapura, Asian Strategic Leadership Institute dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah menjemput beliau berucap dan membentangkan kertas kerja dalam acara-acara mereka.

Nik Nazmi turut menganggotai panel penasihat rentas parti Centre for Public Policy Studies (CPPS).

Beliau juga merupakan seorang pencinta budaya ilmu yang tulen – beliau adalah seorang penulis yang konsisten dan pembaca buku yang tegar.

Beliau pernah menulis di pelbagai media cetak termasuk akhbar The Edge, Malay Mail, Sinar Harian, The Star, Malaysiakini, Suara Keadilan dan Harakah.

Beliau juga telah mengarang beberapa buah buku, Mendepani Zaman - Melayu untuk Abad ke-21 (diterbitkan di dalam Bahasa Inggeris sebagai Moving Forward: Malays for the 21st Century), Coming of Age: A Decade of Essays 2001-2011 dan Reformasi: Perjuangan Diteruskan, 1998-2015 (penulis bersama Yee Siew Meng). Bersama Tricia Yeoh, beliau menjadi editor Jiwa Merdeka: Himpunan Esei Pimpinan Muda KEADILAN yang diterbitkan di dalam Bahasa Inggeris sebagai The Spirit of Merdeka: A Collection of Essays by Young KEADILAN Leaders.

Nik Nazmi komited dengan politik telus dan berintegriti, di mana beliau telah membuat pengisytiharan harta sebanyak dua kali - dengan Kerajaan Selangor dan INVOKE.

Beliau juga dengan berani telah menganjurkan perhimpunan “Black 505” pada 8 Mei 2013, sebagai tanda bantahan keputusan PRU ke-13, sehingga didakwa di mahkamah.

Dalam PRU ke-14 pada tahun ini, Nik Nazmi terjun ke Setiawangsa (kubu BN) dari kerusi selamat DUN Seri Setia, demi membawa perubahan serta berkhidmat kepada rakyat di sana.

Beliau percaya, jika Pakatan Harapan hendak menang, kerusi-kerusi yang Umno-BN menang tipis pilihan raya lepas harus menjadi tumpuan.

Dalam sejarah Setiawangsa, belum pernah BN tewas di sini.

Beranilah untuk berubah, memandangkan perubahan ada di tangan anda.

Berikan Nik Nazmi peluang lima tahun untuk membuktikannya. Ini kalilah, kita lawan. Bangkit!


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen