malaysiakini logo
story-image
ADS

Tindakan PAS menamakan Pesuruhjaya PAS Wilayah Mohammad Noor Mohammad sebagai calon di parlimen Titiwangsa membuktikan parti itu ketandusan pemimpin berwibawa sehingga terpaksa menggunakan calon kitar semula.

Beliau yang pernah bertanding di Titiwangsa sebelum ini dan tewas sebanyak dua kali tidak berpotensi untuk memberikan saingan kepada Pakatan Harapan mahupun BN.

Pada pilihan raya 1999, beliau tewas kepada calon BN dengan majoriti 1,513 manakala tahun 2004 menyaksikan sekali lagi beliau tewas dengan majoriti yang lebih besar iaitu sebanyak 11,815.

BN Titiwangsa pula masih bergelut isu calon dan kegagalan penyandang Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk memberikan jawapan konkrit berkaitan isu status tanah kampung baru dan Akta 733 PKB pula akan menipiskan peluang BN untuk terus mempertahankan kerusi ini.

Johari bukan sahaja gagal menjawab dua isu di atas, malah banyak lagi isu yang gagal dijawab termasuk isu pembelian rumah legasi dan krisis peniaga warga asing yang semakin berleluasa di Titiwangsa.

Saya percaya warga pemilik tanah warisan di Kampung Baru akan memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan kerana mereka berkeyakinan Pakatan Harapan akan mengkaji semula Akta 733 Perbadanan Kampung Baru kerana akta ini yang secara jelas tidak berpihak kepada pemilik tanah.

Saya yakin dengan prestasi hambar BN dan calon kitar semula dari PAS ini akan mencerahkan lagi peluang Pakatan Harapan untuk merampas kerusi ini.

Pakatan Harapan kali ini mempertaruhkan anak tempatan kelahiran Keramat, Rina Harun sebagai calon.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Pengurusan Perbankan dan Kewangan dari Universiti Northwood (Michigan, AS) dipercayai mampu mengulangi sejarah 10 tahun lalu apabila wanita berjaya merampas kerusi ini dari tangan BN.

Kredibiliti beliau sebagai ketua Wanita Srikandi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) dipercayai mampu untuk menggalas tanggungjawab sebagai ahli parlimen Titiwangsa.

Justeru Pakatan Harapan Titiwangsa kini berada pada tahap terbaik untuk memastikan BN dan PAS tewas di kerusi ini.

Sebagai anak jati Kampung Baru dan Titiwangsa, saya menyeru seluruh warga Titiwangsa untuk mengundi PKR dan saya akan pastikan Pakatan Harapan berjaya menewaskan BN dan PAS di Titiwangsa.


SYED BADLI SHAH SYED OSMAN ialah penolong setiausaha Angkatan Muda PKR.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen