malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Zahid macam tak faham patriotisme warga Malaysia
ADS

Di Kluang semalam, timbalan perdana menteri sementara Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan mengenai pengundi berdaftar yang bekerja di Singapura.

Katanya mereka yang tidak dapat cuti tidak perlu pulang mengundi pada 9 Mei nanti.

Kenyataan Ahmad Zahid itu juga senada dengan timbalan menteri dalam negeri sementara (penyandang kerusi parlimen Pulai), Datuk Nurjazlan Mohamed yang menidakkan usaha kempen pulang mengundi.

Kenyataan dikeluarkan pemimpin BN ini seperti menafikan usaha rakyat Malaysia untuk melaksanakan hak demokrasi mereka pada pilihan raya umum kali ini.

Saya ingin menegaskan bahawa lambakan rakyat kita mencari rezeki di Singapura adalah disebabkan dasar ekonomi negara tidak diurus tadbir dengan sebaiknya di bawah BN.

Seharusnya Ahmad Zahid, Nurjazlan, BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengalu-alukan usaha serta rakyat Malaysia - sama ada yang menggerakkan kempen pulang mengundi atau mereka yang bekerja di Singapura untuk meluangkan masa sehari setiap empat atau lima tahun - melaksanakan hak mereka sekaligus menyuburkan amalan demokrasi di Malaysia.

Namun begitu kenyataan tidak bertanggungjawab Ahmad Zahid serta Nurjazlan menunjukkan mereka seperti tidak memahami situasi kini dihadapi hampir 400,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

Sehubungan itu saya mendesak Ahmad Zahid untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan tidak bertanggungjawab tersebut.

Bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura - khususnya anak jati Johor, termasuk orang Paloh - saya menyeru agar mereka dapat pulang mengundi pada 9 Mei nanti.

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, PRU ke-14 ini ialah perlawanan antara Pakatan Harapan bersama rakyat menentang BN.

Justeru pulanglah untuk mengundi agar kita bersama-sama dapat merealisasikan kemenangan di kawasan Dewan Undangan Negeri Paloh, seterusnya dari Johor kita mara ke Putrajaya.

Mari kita nafikan kemenangan BN untuk terus memerintah dan menyalahgunakan kuasa.


SHEIKH OMAR ALI ialah penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor dan dinamakan sebagai bakal calon parti itu untuk DUN Paloh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen