malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Biro Buruh DAP mengucapkan tahniah kepada BN kerana 'menciplak' beberapa cadangan yang terdapat dalam manifesto Pakatan Harapan khusus untuk kaum pekerja di negara ini.

'Terima kasih' yang tidak terhingga kerana meniru cadangan dalam manifesto Pakatan Harapan untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 sebulan dan memperkenalkan pas pengangkutan awam.

Kami tidak ada masalah untuk BN meniru idea dan cadangan Pakatan Harapan asalkan ia memberi manfaat kepada rakyat khususnya kaum pekerja yang kian terhimpit dengan kos sara hidup yang cukup membebankan.

Cuma satu permintaan kami kepada BN jika dapat mengekalkan Putrajaya iaitu laksanakanlah dengan seberapa segera gaji minimum tersebut bagi membantu rakyat meringankan perbelanjaan bulanan mereka.

BN tidak perlu tunggu untuk meningkatkan gaji minimum pekerja secara berperingkat dalam tempoh lima tahun kerana janji BN untuk mengekalkan GST sudah cukup untuk menjanjikan kenaikan kos sara hidup di masa akan datang.

BN tidak perlu memberikan alasan untuk tidak menyegerakan pelaksanaan gaji minimum itu kerana BN sudah cukup terkenal dalam memberikan alasan untuk mewajarkan tindakan mereka walaupun tahu rakyat kian susah.

Sebagai contoh, ketika kerajaan Pakatan Harapan Selangor mahu memberikan air percuma kepada rakyatnya, BN kata Selangor akan bankrap kerana berbuat demikian. Sudah 10 tahun beri air percuma, Selangor tidak bankrap pun.


AMRAN AHMAD NOR Naib Pengerusi Biro Buruh DAP dan bekas wartawan Utusan Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen