malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
GHAH: Lepas ISA mansuh, kes Akta Hasutan meningkat 1,000 peratus
ADS

Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) kecewa dengan keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini yang menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan ke atas Pegawai Penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Wan Ji Wan Hussin.

Hukuman ini adalah berkaitan kenyataan beliau yang dikatakan mengkritik Sultan Selangor, yang disiarkan di media sosial pada November 2012.

Pada 5 April lalu pula seorang lagi aktivis, Haris Ibrahim, dijatuhkan hukuman denda RM4,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda itu, juga di bawah Akta Hasutan.

GHAH bimbang melihat trend terbaru ini yang seakan-akan menunjukkan kerajaan akan sekali lagi menghidupkan ketakutan buat rakyat untuk bersuara, menerusi akta drakonian ini.

Selepas mansuhnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada November 2014, penggunaan akta hasutan meningkat hampir 1,000 peratus sejak 2012 hingga 2015.

Ia jelas melanggar hak bersuara rakyat Malaysia yang dijamin dibawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun trend penggunaan akta hasutan menurun secara mendadak bermula 2016, perkembangan terbaru ini agak membimbangkan.

Ia boleh dianggap sebagai intimidasi politik menjelang PRU ke-14.

Pada PRU kali ini, rakyat perlu memberikan mesej jelas untuk menghapuskan salah guna kuasa dan undang-undang zalim, termasuk akta hasutan.

Kepada kerajaan baru yang bakal dibentuk nanti, GHAH ingin sekali lagi menegaskan tuntutan yang telah kami suarakan sejak sekian lama:

- Mansuhkan Akta Hasutan 1948.

- Gugurkan semua pertuduhan bawah akta itu dan bebaskan semua tahanan.

- Pemansuhan tidak digantikan dengan akta lain yang sama zalim.


Artikel ini disediakan penyelaras GHAH Amir Abdul Hadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen