malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Surat
'Wan Saiful jangan hanya jadi hero waktu pilihan raya'
ADS

Dalam keghairahan Timbalan Ketua Strategi dan Polisi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Wan Saiful Wan Jan hendak memburuk-burukkan kerajaan Barisan Nasional dengan harapan untuk menjadi anggota parlimen pada pilihan raya akan datang, beliau nampaknya sudah tidak boleh lagi membezakan antara fakta dan persepsi.

Untuk pengetahuan Wan Saiful, kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap kesejahteraan dan kesihatan rakyat. Malah kerajaan berusaha keras untuk memberikan perlindungan kesihatan yang terbaik bagi rakyat Malaysia.

​Di bawah Bajet 2018, kerajaan telah mengagihkan sejumlah RM27 bilion bagi sektor kesihatan yang merangkumi kos bagi pembelian bekalan perubatan, khidmat sokongan perubatan dan pembinaan fasiliti perubatan. Pengagihan belanjawan bagi sektor kesihatan tidak pernah dikurangkan, malah ia sentiasa meningkat.

Bajet sektor kesihatan tahun 2014 iaitu RM22 billion telah meningkat sehingga mencecah RM27 billion pada tahun 2018.

Sama ada Wan Saiful sedar atau tidak, peruntukan bajet bagi sektor kesihatan adalah yang kedua terbesar selepas sektor pendidikan.

Dakwaan pemotongan bajet kesihatan seperti yang dikatakan oleh Wan Saiful ternyata suatu dakwaan yang tidak tepat.

Agihan bajet

Pengagihan bajet Kerajaan bagi sektor kesihatan memberi penekanan kepada seluruh spektrum penjagaan kesihatan iaitu dari segi pencegahan, pengurangan risiko, saringan, rawatan kuratif, ujian pengesahan, rawatan susulan serta kawalan dan rawatan komplikasi penyakit.

Usaha kerajaan bagi sektor perubatan bukan terhad kepada pengagihan bajet sahaja malah ia merangkumi usaha-usaha membina dan menaik-taraf hospital dan pusat-pusat kesihatan di seluruh negara.

Setakat 2017, kerajaan telah membina, menaik taraf dan membesarkan lebih 144 hospital yang menyediakan 41,995 katil pesakit, 1,060 klinik-klinik kesihatan, 1,800 klinik desa dan juga 357 klinik-klinik 1Malaysia.

Di samping itu, kerajaan juga telah menambahkan penjawatan pakar-pakar perubatan di Kementerian Kesihatan dari 3,380 Pakar pada tahun 2012 ke 4,970 pakar pada tahun 2017.

Ini tidak termasuk bakal-bakal doktor yang sedang dilatih di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan dan di luar negara.

Ambil berat kesihatan rakyat

Kesemua fakta di atas merupakan bukti bahawa kerajaan Barisan Nasional amat mengambil berat akan keadaan kesihatan rakyat tanpa mengira bangsa, keturunan, umur atau pegangan politik.

Tidak pernah kerajaan meletakkan rakyat dalam sebarang keadaan risiko seperti yang di dakwa oleh Wan Saiful.

Sepatutnya, sebagai seorang yang berpelajaran tinggi, Wan Saiful patut turut serta dalam usaha kerajaan untuk menyeru rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat, pemakanan seimbang dan kerap melakukan senaman untuk mengelakkan penyakit-penyakit yang serius seperti masaalah buah pinggang, kencing manis dan sebagainya.

Wan Saiful tidak sepatutnya mengambil jalan mudah dan populis dengan hanya melontarkan segala masaalah kesihatan rakyat kepada kerajaan.

Nasihat saya kepada Wan Saiful, jika anda benar-benar ingin menjadi ahli politik yang berwibawa, rajin-rajinlah turun ke padang dan berjumpa dengan rakyat dan bukan hanya cuba menjadi hero apabila tiba pilihan raya sahaja.

Jangan melihat isu kesihatan dari pandangan sempit serta cuba memanipulasi dan mengelirukan rakyat. Soal kesihatan rakyat tak payahlah dipolitikkan.


JOHARI ABDUL GHANI Adalah Menteri Kewangan II dan anggota parlimen Titiwangsa.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen