malaysiakini logo
story-image
ADS

Pertubuhan Serantau Muslim melahirkan rasa marah dan sedih dengan insiden yang berlaku di Kashmir baru-baru ini.

Kekejaman pasukan keselamatan India ke atas rakyat Kashmir ibarat tiada titik noktahnya. Serantau Muslim melihat isu ini sebagai salah satu episod hitam yang menghantui penduduk Kashmir walupun sehingga hari ini hampir 61 tahun wilayah itu bergolak.

Laporan media melaporkan Ketua Sekretariat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk India yang menggunakan kuasa mereka membunuh sekurang-kurangnya 17 penduduk yang tidak bersalah dalam kejadian berbeza di Kashmir, India.

Serantau Muslim menyokong penuh seruan Setiausaha Agung OIC, Dr Yousef Ahmed Al-Othaimeen yang mengajak seluruh masyarakat dunia bersama-sama memainkan peranan mencari penyelesaian yang adil dan saksama terhadap pertikaian Kashmir, sesuai dengan keputusan OIC serta resolusi Majlis Keselamatan PBB.

Pada masa sama Yousef Ahmed mengulangi gesaannya agar India membenarkan akses kepada misi pencarian fakta oleh Wakil Khas Setiausaha Agung dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Bebas (IPHRC) di wilayah Jammu dan Kashmir.

Serantau Muslim melihat kesungguhan organisasi yang terdiri daripada gabungan 57 negara Islam seluruh dunia ini seiring dengan matlamatnya untuk bersama-sama bersatu tenaga dan bersuara bagi melindungi kebajikan umat Islam seluruh dunia.

Justeru, Serantau Muslim tidak teragak-agak untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang bermatlamat sama untuk menyalurkan bantuan dalam pelbagai bentuk terhadap rakyat Kashmir.

Serantau Muslim juga menyeru semua umat Islam agar mendoakan ahli keluarga yang terlibat dalam insiden berdarah ini diberi kesembuhan emosi segera.


MOHD HAKIM MOHD NOR ialah pengurus besar Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen