malaysiakini logo
story-image
ADS

Umno tidak seharusnya menyalahkan tindakan Kelab Aku Budak Chow Kit (KABCK) yang bangkit menyatakan rasa tidak puas hati terhadap prestasi Datuk Seri Johari Abdul Ghani selaku anggota parlimen Titiwangsa.

Sememangnya Johari gagal mengurus tadbir Titiwangsa dengan baik. Hujah ini diperkuatkan lagi apabila Johari gagal menjawab dua soalan yang saya kemukakan sebelum ini.

Saya yakin kalau saya bangkitkan soalan lain, Johari akan tetap gagal memberikan jawapan yang tepat.

Sebaliknya beliau akan mengarahkan konco-konconya seperti Datuk Azizul Rahman Mohd Hussain Malim, Setiausaha Umno Titiwangsa untuk memberikan jawapan yang tidak konkrit.

Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu misalnya yang dilulus pada tahun 2011, jelas merupakan agenda tersembunyi Umno untuk menguasai tanah-tanah orang Kampung Baru.

Akta ini memberikan kuasa penuh kepada Menteri Wilayah Persekutuan untuk melantik kroni-kroni Umno menganggotai Perbadanan Kampong Bharu (PKB).

Kemudian PKB pula berkuasa mengawal segala projek dan pembangunan di Kampung Baru tanpa pemilik mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju mereka.

Apa yang Johari lakukan untuk mengembalikan kuasa ini kepada pemilik? Tiada apa. Yang ada hanyalah retorik semata-mata.

Saya percaya KABCK tidak keseorangan kerana ribuan lagi pengundi sedang menunggu untuk menolak Johari di atas kertas undi.

Saya ingin mengajak KABCK dan seluruh warga Titiwangsa untuk bersama saya menzahirkan penolakan kepada Umno dan BN pada pilihan raya umum (PRU) yang akan datang.

Justeru saya ingin menyahut seruan Setiausaha Umno Titiwangsa yang mencabar saya untuk melihat sokongan saya di Kampung Baru.

Menjelang PRU nanti, siapa juga yang diletakkan sebagai calon Pakatan Harapan di Titiwangsa, saya akan pastikan Umno dan BN tewas.


SYED BADLI SHAH SYED OSMAN ialah penolong setiausaha Pemuda PKR yang juga anak jati Kampung Baru serta kawasan parlimen Titiwangsa.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen