malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Sempadan baru SPR galakkan politik perkauman
ADS

Pusat KOMAS berasa amat kecewa dan risau melihat kepada cadangan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya yang telahpun diwartakan hari ini.

Melihat kepada laporan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), persempadanan semula kali ini bukanlah aktiviti yang dibuat secara adil sebaliknya jelas bercirikan gerrymandering - iaitu manipulasi sempadan pilihan raya bagi menguntungkan satu pihak.

Pusat KOMAS berpandangan bahawa selain menzalimi kuasa undi rakyat, persempadan semula ini juga memberi kesan yang amat serius kepada perpaduan antara kaum dalam jangka panjang.

Pilihan raya yang seharusnya menjadi satu pesta demokrasi rakyat yang diraikan kini mula kelihatan sebagai satu tragedi perpecahan antara kaum yang sedang menanti untuk berlaku.

Ini adalah akibat secara langsung daripada kegiatan pecah dan perintah dibuat oleh SPR yang turut menampakkan sempadan berdasarkan etnik.

Berdasarkan pendedahan yang dibuat oleh Dr Ong Kian Ming di parlimen semalam, jelas menunjukkan bagaimana persempadanan semula ini dengan sengaja telah memecah-belahkan kawasan pengundi yang berbilang etnik menjadi satu kerusi yang didominasi satu etnik sahaja.

Mengambil contoh persempadanan semula bagi P74 Lumut, pertambahan pengundi Melayu dari 51 peratus menjadi 71 peratus dan menyebabkan kerusi tersebut menjadi kerusi dominan bagi etnik Melayu berbanding sebelumnya yang mempunyai pengundi yang lebih rencam.

Perkara yang sama turut berlaku di beberapa kawasan seperti di P107 Sungai Buloh, P109 Kapar dan P124 Bandar Tun Razak.

Pusat KOMAS turut terkejut dengan kenyataan Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah yang dalam akhbar New Straits Times yang disiarkan awal hari ini.

Beliau mempertahankan persempadanan dibuat mengikut etnik atas alasan mahu meletakkan suatu etnik dalam satu kawasan atas dasar kepentingan pengundi.

Tingkat semangat keluar mengundi

Pusat KOMAS ingin menyatakan bahawa kenyataan itu adalah cukup jahil dan penuh dengan prejudis yang tidak sepatutnya datang daripada seseorang berjawatan seperti beliau.

Pusat KOMAS menegaskan peta pilihan raya yang dipecah dan perintah mengikut etnik ini adalah penyumbang utama kepada amalan politik kotor berbaur perkauman dan agama untuk terus kekal berleluasa dalam negara.

Pusat KOMAS amat-amat kesal dengan SPR yang seharusnya bersikap adil dan prihatin untuk memastikan pilihan raya berjalan dengan lancar dan aman sebaliknya sengaja memilih untuk melaga-lagakan antara etnik dalam pilihan raya akan datang.

Sebagai institusi utama yang memelihara acara utama negara demokrasi berparlimen, SPR seharusnya malu untuk menghadapi rakyat atas kegagalan mereka membawa visi dan misi murni penubuhan mereka iaitu untuk mempertahankan proses utama negara demokrasi berparlimen dengan bersih dan adil.

Oleh yang demikian Pusat KOMAS menyeru agar rakyat untuk terus bersemangat untuk keluar mengundi secara beramai-ramai bagi menewaskan sistem pilihan raya yang kotor dan zalim ini.

Pusat KOMAS turut ingin mengajak agar rakyat secara aktif terbabit dalam kempen PEMANTAU yang dilancarkan oleh BERSIH dan Pusat KOMAS turut berkerjasama dalam membuat pemantauan terhadap isu politik perkauman dan diskriminasi kaum dalam pilihan raya.

Satukan tenaga, kalahkan penipuan!


Rencana ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen