malaysiakini logo
story-image
ADS

Saya merujuk kepada artikel yang disiarkan di penerbitan berita atas talian Malaysiakini pada 26 Mac 2018 bertajuk “Perpecahan Umno di Titiwangsa kerana rebut kerusi”.

Kenyataan Syed Badli Shah Syed Osman yang mengaku sebagai Penolong Setiausaha Ketua Pemuda PKR yang menuduh bahawa terdapat suatu perpecahan di dalam Umno Titiwangsa adalah sangat tidak tepat dan jelas bertujuan untuk mengelirukan orang ramai.

Sebagai anak jati Kampung Bharu serta tinggal di Kampung Bharu saya ingin menegaskankan bahawa keseluruhan Umno Titiwangsa hari ini menyokong sepenuhnya kepimpinan Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Titiwangsa.

Umno Titiwangsa tetap teguh bersatu di bawah kepimpinan Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Malah kesemua parti komponen BN turut menyokong penuh kepimpinan beliau.

Saya ingin menyarankan kepada Syed Badli supaya berhenti dari mengeluarkan komen-komen kosong dan dangkal yang kononnya beliau amat arif mengenai urusan dalaman Umno Titiwangsa sedangkan beliau bukanlah seorang ahli Umno pun. Lebih banyak komen yang beliau buat, makin menyerlah kedangkalan beliau. Syed Badli hanya tahu cakap kosong.

Syed Badli mungkin mengaku sebagai seorang anak Kampung Bharu akan tetapi, beliau tidak tinggal di Kampung Baru.

Saya dan sebahagian besar pucuk pimpinan Umno Titiwangsa sememangnya tinggal dan menetap di kawasan Kampong Bharu dan kami amat mengenali dan memahami situasi dan masalah-masalah yang dihadapi oleh penduduk sekitar Kampong Bharu, Datuk Keramat dan Kampong Pandan.

Syed Badli hanya muncul bila sudah dekat dengan pilihan raya dan cuba berlagak sebagai hero memperjuangkan nasib penduduk Kampong Bharu walhal sebelum ini tidak pernah kelihatan langsung.

Hal ehwal dan masalah pembangunan di Kampung Bharu yang cuba dipersalahkan oleh Syed Badli sebelum ini menonjolkan kedangkalan Syed Badli sendiri dan jelas menunjukkan bahawa beliau tidak faham akan situasi sebenar Kampung Bharu.

Segala bentuk pembangunan hartanah di Kampung Bharu adalah di bawah bidang kuasa pihak Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Perbadanan Kampong Bharu.

Sebagai seorang ahli parlimen, Datuk Seri Johari telah berjaya memastikan kepentingan hakmilik hartanah di Kampung Bharu kekal dibawah pegangan orang-orang Melayu. Tanah Kampung Bharu bukan tanah setinggan yg boleh dibangunkan sewenang-wenangnya.

Tanah Kampung Bharu tidak boleh dibangunkan sekiranya tidak mendapat persetujuan perwaris pewaris tanah.

Malah, penduduk Kampung Bharu sendiri tahu bahawa mereka boleh berjumpa dengan Datuk Seri Johari pada bila-bila masa untuk bantuan dan nasihat beliau mengenai hal-hal pemilikan dan pembangunan hartanah mereka dan usaha gigih Datuk Seri Johari sejak menjadi wakil rakyat bersama pihak Malay Agriculture Settlement (MAS) serta Perbadanan Kg Bharu (PKB) itulah yang telah dapat menyelesaikan kesemua isu pemilikan tanah Kg Bharu yg berjumlah 1355 lot dan baki 36 lot masih dalam proses pengeluaran geran.

Masalah parkir pula yang Syed Badli cuba untuk menjadi juara hanya berjaya memberikan gambaran kepada tahap pemahaman Syed Badli sendiri yang amat cetek.

Masaalah parkir di sepanjang Jalan Raja Muda Musa sebenarnya hanya boleh selesai dengan kerjasama pemilik-pemilik hartanah sepanjang jalan itu yang sanggup dan setuju untuk menjual atau memberi sewaan jangka panjang kepada pihak PKB atau DBKL untuk dibina parkir bertingkat di situ.

Selagi kerjasama ini tidak dapat diperolehi dari pemilik-pemilik hartanah tersebut, selagi itulah penduduk sekitaran Jalan Raja Muda Musa akan berdepan dengan masalah parkir ini apabila ramai pengunjung mengunjungi Kg Bharu kerana keunikan kedai-kedai makanan Melayu.

Syed Badli perlulah faham dan cuba dapatkan pandangan dan maklumat yang sahih dari pihak PKB dan MAS sebelum hendak berlagak sebagai hero Kampung Bharu. Saya berharap agar Syed Badli dipilih menjadi calon pilihan raya akan datang untuk melihat kekuatan sokongan beliau oleh penduduk Kampung Bharu.


DATUK AZIZULRAHMAN MOHD HUSSAIN MALIM adalah anak jati Kampung Bharu merangkap ahli lembaga pengarah PKB dan setiausaha Umno bahagian Titiwangsa.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen