malaysiakini logo
ADS
story-image
ADS

Isu permit import (AP) kereta yang selama ini dilihat sebagai satu isu nasional, nampaknya dijadikan isu kepartian pula akhir-akhir ini. Dua wakil rakyat kerajaan yang menyokong usul AP yang dibawa oleh pembangkang diberi amaran keras oleh kabinet.

Kedua-dua mereka dikatakan melanggar peraturan, hanya kerana menyetujui isu yang dibangkitkan oleh Lim Kit Siang. Sepatutnya semua ahli Parlimen bebas menyuarakan pendapat mereka, terutama dalam isu AP ini kerana ia membabitkan mereka semua.

Penjelasan Datuk Seri Rafidah Aziz berhubung isu AP, menyebabkan ramai wakil rakyat tidak berpuas hati, sama ada parti komponen kerajaan dan pembangkang. Tindakan mengeluarkan senarai penerima AP dari kalangan ahli Parlimen telah mengelirukan banyak pihak.

Ringkasnya, wakil Sri Gading dan Kinabatangan tidak perlu memohon maaf kerana pada dasar dan hakikatnya, mereka menyuarakan hal yang disepakati bersama oleh semua wakil rakyat, tanpa mengira parti dan ideologi politik.

Sebaliknya, kita tertanya-tanya bagaimana kalau usul AP itu bukan dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang tetapi oleh Ketua Kelab Penyokong Kerajaan?

ADS

Adakah Sri Gading dan Kinabatangan perlu memohon maaf juga? Walhal isu yang disuarakan sama, cuma wataknya berbeza.

Peraturan lapuk kerajaan berhubung tingkah laku wakil rakyat itu perlu dinilai semula. Sepatutnya tidak menjadi satu kesalahan bagi wakil rakyat menyokong rakan sejawatannya walaupun dari parti pembangkang, jika usul itu membabitkan kepentingan rakyat dan negara.

Isu AP bukannya isu Barisan Nasional (BN) atau Umno tetapi membabitkan aset negara, projek kereta nasional.

Hal yang dibangkitkan oleh wakil rakyat berhubung kepentingan rakyat atau negara, perlulah dihormati dalam dan luar Parlimen kerana mereka adalah wakil yang diundi dan dipilih oleh rakyat.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.