Kerajaan perlu meningkatkan lagi langkah-langkah untuk memerangi rasuah. Usaha menyemai budaya anti-rasuah perlu digiatkan.
Mungkin fenomena "Mawi" boleh kita gunakan bagi membantu membanteras gejala buruk ini.
Badan Pencegah Rasuah (BPR) juga boleh menganjurkan pertandingan mencipta lagu-lagu anti rasuah. Lagu itu pula dinyanyikan saban pagi di semua sekolah dalam perhimpunan.
Semua ejen yang wujud dalam masyarakat mestilah diberikan peranan dengan bijaksana seperti yang diwasiatkan oleh penyair Dr.Usman Awang dalam mencipta budaya yang sihat.
Selain itu, langkah memartabatkan budaya bangsa seperti yang disaran oleh Datuk Seri Dr Rais Yatim juga wajar diberikan sokongan. Perjuangan itu tidak boleh dilakukan sekerat jalan. Ia mestilah berterusan kerana, budaya sangat berkait antara setiap sendi dan dimensi kehidupan manusia.
Langkah menteri itu mempromosi budaya joget dan songket baru-baru ini wajar disokong oleh semua pihak termasuk media. Sayang sekali kalau joget dan songket cuma tinggal ucapan sebagai mengisi program-program rasmi kerajaan.
Budaya adalah ciptaan manusia, maka budaya boleh ditingkatkan ke peringkat yang lebih tinggi.