malaysiakini logo
story-image
ADS

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim semalam mengadakan pertemuan rasmi dengan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria di pejabatnya, dekat Ipoh.

Pertemuan tersebut diketuai oleh setiausaha merangkap pengurus besar Serantau Muslim, Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor bertujuan untuk mengadakan perbincangan dalam usaha membantu umat Islam Rohingya yang berada di negeri Perak.

Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Perak Datuk Dr Amiruddin Muhamed.

Dianggarkan seramai kira-kira 5,000 pelarian Rohingya berada di Negeri Perak.

Seramai 3,000 orang berada di Ipoh, selebihnya adalah di Taiping, Lumut, Setiawan, Teluk Intan dan di Tapah.

Dalam pertemuan tersebut, Serantau Muslim telah mengutarakan isu persiapan bakat kepimpinan dan pendidikan kepada anak anak pelarian Rohingya yang ada di Malaysia sebagai persiapan untuk mereka kembali memimpin etnik mereka apabila mereka dibenarkan pulang ke negara asal.

Beberapa kertas cadangan telah diusulkan oleh Serantau Muslim kepada mufti Perak dalam meneliti ruang kerjasama yang boleh dilakukan oleh kedua-dua belah pihak dalam usaha membantu pelarian tertindas ini.

Antaranya ialah pembinaan kurikulum pendidikan bersepadu yang menerapkan nilai agama dan bakat keusahawanan untuk proses pembinaan kepimpinan islam di masa akan datang.

Selain itu, cadangan pembinaan kompleks pendidikan bersepadu juga telah dibincangkan secara lumat dalam pertemuan tersebut.

Menurut Ustaz Hakim, pertemuan itu telah mencapai objektifnya yang mahu melibatkan individu berautoriti dan berpengaruh seperti mufti Perak dalam perjuangan membela Muslim minoriti.

Mufti Perak sangat menghargai usaha yang dilakukan oleh Serantau Muslim dan beliau menyeru agar seluruh rakyat memberikan sokongan kepada Serantau Muslim dan NGO yang lain untuk membantu golongan tertindas.

Katanya, adalah menjadi kewajipan sebagai umat Islam untuk membantu golongan tertindas seperti etnik Rohingya.

Beliau mengharapkan agar seluruh umat Islam khususnya di negara ini supaya mempunyai sikap prihatin terhadap soal kemanusiaan seperti ini.

Tan Sri Harussani Zakaria menyeru agar sama-sama membela agama Islam dan orang-orang yang beragama Islam terutama yang dizalimi seperti apa yang dihadapi oleh etnik Rohingya.

Lihat Komen