malaysiakini logo
story-image
ADS

Saya amat terkejut dengan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa seolah-olah selama ini hanya pembantu-pembantu beliau sahaja yang menjenguk rakyat warga kota dan mengambil tahu permasalahan orang ramai.

Tidak hairanlah mengapa masalah di Kuala Lumpur tidak diselesaikan secara konkrit. Nampaknya tanggungjawab Tengku Adnan diserahkan kepada pembantu-pembantu beliau untuk dilaksanakan selama ini.

Bagi saya, secara tidak langsung Tengku Adnan memang tidak tahu langsung masalah dihadapi rakyat di bawah seliannya. Semuanya seperti diserahkan kepada pembantu.

Terbukti Tengku Adnan hanya bergoyang kaki dalam pejabat berhawa dingin.

Apabila tiba musim pilihan raya saja barulah beliau turun padang dan bertanya khabar kepada rakyat dan apa yang perlu dibantunya.

Inilah pemimpin hipokrit yang ada dalam Umno dan BN.

Sebagai seorang menteri yang bertanggungjawab seharusnya beliau mengetahui apa masalah rakyat dan apa yang rakyat mahukan. Ekoran daripada sikap tidak ambil tahu pemimpin, rakyat jadi mangsa.

Saya lihat pembangunan di ibu kota langsung tidak memberi keselesaan rakyat. Kemudahan yang dibangunkan kerajaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga tidak ditambah baik.

Nampaknya, masalah untuk menyediakan tempat tinggal kepada kumpulan miskin bandar juga tidak dilaksanakan dengan sempurna, pembinaan rumah mampu milik dengan menggunakan kos yang rendah juga tidak dilakukan.

Sebaliknya perumahan mewah terus rancak dibangunkan di sekitar ibu kota manakala rakyat biasa terus dipinggirkan dan kebajikan mereka terus terabai.

Sebaiknya Tengku Adnan membantu rakyat bukan membazirkan wang rakyat dengan program-program yang melalaikan.

Pelbagai masalah yang masih perlu diperbaiki dan diberi perhatian oleh menteri itu seperti banjir, kesesakan lalu lintas, gelandangan, jalan rosak dan banyak lagi.

Pembangunan memang pesat, tetapi kemudahan perumahan sedia ada masih kurang memuaskan.

Sebagai contoh, masalah di Projek Perumahan Rakyat (PPR). Saya lihat banyak kemudahan tidak diselenggara dengan baik, lif selalu rosak, tempat pembuangan sampah tidak mencukupi, menjadikan ia lebih kotor dan busuk.

Kita juga pernah dikejutkan dengan kematian seorang remaja lelaki akibat kerusi terbang dari tingkat atas rumah pangsa.

Perkara ini sudah banyak kali diadukan penduduk, namun Tengku Adnan dan DBKL kelihatan sepi. Hanya apabila ada sesuatu terjadi, barulah mereka turun padang dan lihat masalah rakyat di bawah ini.

Seeloknya Tengku Adnan turun padang melihat sendiri keperluan rakyat yang masih belum dituntaskan. Jangan hanya pandai bercakap dan membazirkan wang dengan buat program tidak mendatangkan faedah kepada rakyat.

Sekiranya Tengku Adnan tidak tahu akan tanggungjawabnya selaku menteri, lebih baik beliau meletak jawatan dan berikan tempat itu kepada mereka yang layak dan betul-betul ingin membantu rakyat.

Oleh itu, saya merasakan Tengku Adnan sudah menjangkakan agak apa yang rakyat mahukan. Rakyat tidak lagi memerlukan menteri yang hanya makan gaji buta.


DATIN PADUKA DR TAN YEE KEW ialah bendahari agung PKR.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen