malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Tingkatkan pemantauan rumah kebajikan basmi jenayah seksual pedofilia
ADS

Tangkapan polis terhadap pelaku jenayah seks kanak-kanak yang juga merupakan penjaga sebuah rumah kebajikan anak yatim di Ampang Jaya sedikit sebanyak melegakan banyak pihak.

Kecekapan pihak polis menyiasat sehingga tertangkapnya penjenayah ini perlu diberikan pujian.

Selepas membaca perkembangan laporan kes jenayah ini, sudah pasti banyak pihak yang berharap supaya pelaku jenayah ini dan isterinya yang turut bersubahat dikenakan hukuman yang setimpal.

Jenayah cabul dan rogol di rumah kebajikan seperti ini bukanlah insiden kali yang pertama. Pada tahun lalu, media turut melaporkan kejadian sama yang berlaku seperti di Petaling Jaya dan Jitra.

Jenayah yang berlaku di rumah kebajikan ini tidak sepatutnya berlaku kerana premis ini terdiri di atas kepercayaan orang ramai tentang kemampuannya menjadi pelindung kepada golongan yang tidak bernasib baik.

Malangnya, kepercayaan yang diberi telah dikhianati sehingga berlaku kes-kes jenayah yang terkutuk seperti ini.

Saya khuatir jika jenayah seperti ini gagal dicegah lebih awal, masyarakat akan hilang kepercayaan kepada kewibawaan premis ini nanti.

Persoalannya, bagaimanakah pihak berkuasa memantau rumah-rumah kebajikan ini setelah diberi kebenaran untuk beroperasi?

Adakah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mampu membuat pemeriksaan rawak untuk mengesan salah laku yang mungkin terjadi kepada penghuni rumah ini yang terdiri daripada kanak-kanak yang melibatkan penderaan seksual, mental dan fizikal?

Sekiranya langkah tersebut tidak dibuat, maka saya menyarankan supaya semua rumah kebajikan selepas ini diwajibkan mempunyai jawatankuasa atau lembaga pemantau yang terdiri daripada individu, NGO tempatan, anggota Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK), pendidik dan sebagainya yang difikirkan sesuai dan tidak terlibat dengan pengurusan harian rumah kebajikan ini.

Pada hemat saya, penambahbaikan prosedur perlu ditingkat dan dikemaskini selepas pendedahan jenayah keji ini berlaku termasuklah mengadakan ujian pemeriksaan kesihatan mental pemilik dan kakitangan premis ini.

Penghuni rumah kebajikan juga perlu diberikan kursus penerangan dan pencegahan secara berterusan untuk mengelak daripada menjadi mangsa selepas ini. Akibat kekurangan maklumat, ada kalanya mangsa-mangsa ini kehilangan punca untuk mengadu jenayah keji yang dilakukan terhadap diri mereka.

Rumah kebajikan perlu terus dipelihara imejnya dan saya mengharapkan kejadian jenayah yang sama tidak berulang lagi.


DR SITI MARIAH MAHMUD anggota parlimen Kota Raja merangkap ketua Wanita Parti Amanah Negara (AMANAH).

Tulisan ini pandangan penulis dan organisasinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen