malaysiakini logo
story-image
ADS

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) membidas dengan sekeras-kerasnya tindakan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) yang sering menggunakan isu pendidikan Cina sebagai modal politik setiap kali menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

GPMS melihat bahawa tindakan Dong Zong itu adalah tidak bertanggungjawab kerana memperjudikan bidang pendidikan sebagai modal dengan tujuan melakukan ‘barter trade’ dengan pihak kerajaan bagi kepentingan peribadi mereka.

Dong Zong juga sejak dahulu sering hanya ‘berkokok’ setiap kali menjelang PRU sahaja dengan tujuan meraih perhatian kerajaan walaupun banyak ruang untuk berbuat demikan di luar musim pilihan raya.

Tindakan mereka yang mendesak kerajaan untuk menambah 34 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) juga dilihat seolah-olah menangguk di air keruh kerana ia hanya disuarakan tatkala PRU 14 semakin hampir sedangkan tidak ada keperluan untuk kerajaan berbuat demikian kerana masih banyak SJKC seluruh negara yang mengalami masalah kekurangan murid, selain bilangan sekolah kebangsaan yang mencukupi untuk menampung keperluan pendidikan rendah di kawasan yang tidak mempunyai SJKC.

Justeru, GPMS berpendapat tidak perlu sama sekali untuk kerajaan menambah SJKC baru semata-mata untuk kepuasan peribadi golongan cauvinis Cina seperti Dong Zong.

Selain itu, Dong Zong juga sering dilihat berniat jahat dengan menggunakan isu pendidikan Cina bagi ‘mengugut’ kerajaan dengan menjadikan undi kaum Cina sebagai ‘umpan’ pilihan raya.

Sikap mereka ini jelas sekali amat biadap dan tidak beretika, memperkudakan pendidikan sebagai umpan politik setiap kali menjelang PRU atau Pilihan Raya Kecil (PRK).

Atas dasar sikap tidak beretika golongan cauvinis ini juga, GPMS dalam Perhimpunan Agung Tahunan kami akhir tahun lalu, telah mencadangkan penubuhan ‘Suruhanjaya Pendidikan Negara’ kepada pihak kerajaan bagi memandu sistem pendidikan di negara ini agar tidak dijadikan modal politik dan diperkudakan untuk kepentingan peribadi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Justeru, GPMS sekali lagi ingin mengingatkan kepada Dong Zong, jangan sesekali menjadikan isu pendidikan sebagai kuda tunggangan demi kepuasan peribadi, serta menjadikan pendidikan Cina sebagai umpan dalam cubaan melakukan ‘barter trade’ dengan kerajaan bagi mendapatkan sokongan kaum Cina.
 


Zambri Mohd Isa merupakan Presiden GPMS

 

Lihat Komen