malaysiakini logo
story-image
ADS

Saya menulis ini dengan rasa marah dan sugul selepas membaca pendedahan siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) ke atas mangsa culik yang telah hilang sejak bertahun-tahun lalu.

Isteri mangsa menceritakan bagaimana mufti Perlis dan pasukannya sendiri datang ke rumah mengherdik anak-anak kecil dan bapa mereka di depan mereka.

Perkara ini saya rasakan tidak patut berlaku apatah lagi dengan kehadiran seorang mufti.

Kesalahan yang dilakukan oleh Amri Che Mat ketika itu, jika ada, hanyalah kerana mencabar Jabatan Agama Islam Perlis untuk bekerja keras lebih sedikit untuk membantu golongan miskin di sana.

Takkanlah kerana cabarannya kepada sebuah jabatan agama itu layak untuk dibalas dengan serbuan, maki hamun dan mungkin juga dipukul ketika diculik?

Mufti Perlis telah banyak melakukan penindasan hak asasi manusia di tampuk kuasanya.

Beliau pernah mendesak buku tulisan seorang profesor di UKM supaya diharamkan kerana rasa cemburu beliau ke atas isi kandung buku tersebut yang mungkin tidak dapat ditulis oleh beliau sehebat itu.

Beliau juga pernah didakwa menghina agama Hindu secara terbuka dengan gelaran tidak enak sehingga membangkit kemarahan rakyat Malaysia.

Demi mempertahankan Zakir Naik yang dikehendaki kerana aktiviti keganasan di India, seorang mufti sanggup memecah tembok keharmonian pelbagai agama dan bangsa di Malaysia dengan mengeluarkan tulisan yang tidak ada kena mengena dengan isu Zakir Naik.

Namun kerana kerajaan India yang mahukan Zakir Naik, agama Hindu dicop sebagai dalangnya.

Semalam pula, kita diberitahu oleh isteri mangsa culik bahawa Mufti Perlis datang ke rumah menyerang keluarga beliau hanya kerana menubuhkan NGO Perlis Hope bagi membantu kerja-kerja membantu rakyat miskin di Perlis.

Usaha Perlis Hope itu pula disalahtafsirkan oleh Mufti Perlis sebagai salah satu usaha untuk menyebarkan fahaman Syiah. Bagaimanakah?

Apabila saya melihat kronologi ini semula, saya teringat satu filem Korea berjudul K2, yang mana memaparkan seorang pemimpin berwatak baik, boleh menerima kritikan, serta sangat santun di hadapan rakyat, namun selepas itu habis dicari orang-orang yang mengkritiknya dan diburu.

Satu masa dulu juga, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menolak cadangan mencalonkan mufti Perlis ini sebagai pemimpin PKR .

Beliau malah menolak nama beliau daripada dicalonkan sebagai calon pilihan raya.

Ramai anak-anak muda di pejabat PKR ketika itu bertanya kepada Anwar mengapa, namun, tidak sempat dijawab Anwar tetapi saya yakin, Anwar Ibrahim lebih tahu jawapannya mengapa beliau tidak mengalu-alukan kemasukan mufti Perlis itu ke dalam PKR.

Saya berharap, pihak portal independen seperti Malaysiakini, Malaysian Insight dan Free Malaysia Today boleh menghentikan daripada memberikan liputan kepada mufti Perlis, terhadap pendapat-pendapatnya dalam politik.

Ini kerana beliau bukanlah seorang yang berlapang dada, berpemikiran terbuka, malah seorang yang mencabul hak asasi dengan datang sendiri menyerbu kediaman penggerak NGO di Perlis serta pernah mengharamkan penulisan buku ilmiah dan menghina agama lain.


KHALID ISMATH ialah ketua pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen