malaysiakini logo
story-image
ADS

Sudah sampai masanya para pengundi memilih calon pilihan raya yang betul-betul sihat, berkualiti serta sesuai untuk dijadikan contoh terbaik kepada masyarakat.

Antara kriteria yang boleh dipertimbangkan ialah dengan memilih calon-calon yang tidak merokok pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan datang khususnya membabitkan individu beragama Islam.

Cadangan ini bukan saja sesuai untuk dilaksanakan malah selaras dengan fatwa berkaitan pengharaman rokok yang telah lama dibuat dalam negara kita.

Perlu diketahui umum bahawa muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 membincangkan isu mengenai hukum merokok dari pandangan Islam.

Mereka bersetuju untuk memutuskan bahawa "merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan".

Berdasarkan fatwa itu, jelas menunjukkan bahawa hukum mengenai rokok telah lama dikeluarkan, iaitu lebih 20 tahun. Justeru penting untuk masyarakat kita - yang majoritinya beragama Islam - menghormati ketetapan berkenaan.

Memandangkan PRU14 bakal diadakan pada bila-bila masa saja individu yang teringin menjadi calon perlu dipastikan benar-benar layak bergelar pemimpin atau yang berhormat (YB).

Menjadi seorang pemimpin dalam sesebuah masyarakat akan menjadikan mereka tontonan orang ramai. Oleh itu, penting supaya mereka mempunyai ciri pemimpin yang betul-betul layak dihormati serta sesuai dijadikan teladan di kalangan generasi muda.

Selain daripada memiliki sikap rajin, amanah, serta tidak mengamalkan rasuah, antara ciri-ciri pemimpin yang baik ialah mereka tidak merokok.

Para pengundi PRU14 perlu berani tampil bertanyakan perkara ini kepada calon-calon parti politik - khususnya yang beragama Islam - untuk memastikan mereka bukan seorang perokok.

Jika sebaliknya pengundi mendapati calon terbabit seorang perokok, tidak perlulah mereka diberikan undi.

Tolaklah calon-calon yang merokok ini sebagai tanda protes kita terhadap amalan merokok dalam negara kita.


DR MUZAFFAR SYAH MALLOW pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang–undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Surat ini dalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen