Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Dr Rais Yatim yang bersungguh-sungguh ingin mempertahankan nilai budaya dan wairsan sejarah Malaysia, antaranya beliau dilihat berusaha bersungguh-sungguh dalam hal siaran lagu Melayu Asli. Disamping itu, beliau juga turut menunjukkan kesungguhannya memperjuangkan kedudukan pusaka negara, termasuk batik dan songket.
Yang terkini, beliau mempertahankan kedudukan Stadium Merdeka dan Stadium Negara. Syabas Dr Rais...anda telah melakukan sesuatu yang ramai cuma bercakap tetapi tidak bersungguh, kerana kepentingan peribadi. Semua orang tahu nilai sejarah stadium keramat ini dalam sejarah Tanah Melayu dan Malaysia hari ini.
Majlis kemerdekaan negara berlangsung di sini dan sudah tentunya ia tidak boleh dimusnahkan begitu saja. Di samping itu, tidak logik satu bahan paling penting dalam sejarah kemerdekaan Tanah Melayu hendak dilenyapkan dalam sekelip masa.
Sejarah menunjukkan, terlalu banyak acara dan pertandingan peringkat dunia yang telah mengharumkan nama negara, berlangsung di Stadium Merdeka ini. Dan bagi melangsungkan kesungguhan ini, saya mencadangkan agar perayaan kemerdekaan ke-50 nanti diadakan di stadium keramat ini dan bukan di Putrajaya.
Jika tempat yang terhad, kita masih boleh mengadakan acara di lokasi-lokasi lain di seluruh negara dan dipancarkan secara langsung ke stadium berkenaan, agar perayaan pada tahun 2007 nanti, akan melambangkan satu kesatuan dari semua lapisan bangsa, agama dan politik Malaysia.
