malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
HARAPAN tiada penyelesaian, cuma ingin Putrajaya
ADS

Saya tersenyum sendiri melihat beberapa ciap (tweet) dibuat Young Syefura Othman - yang lebih mesra dipanggil Rara - iaitu anggota Jawatankuasa DAP Selangor merangkap ahli Majlis Perbandaran Kajang.

Akhirnya, ada ahli DAP mengakui yang sememangnya DAP dan Pakatan Harapan (HARAPAN) tiada strategi untuk rakyat, wanita dan orang muda.

Syukur kepada tuhan kerana ada orang yang masih bercakap benar.

Peristiwa ini mengingatkan saya kepada satu perdebatan antara Exco Pemuda Umno, Saudara Shahril Hamdan dan Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Apabila Shahril bertanya apakah polisi ekonomi yang akan dibuat oleh HARAPAN jika mereka memerintah, Syed Saddiq seolah-olah lari daripada menjawab soalan tersebut.

Sebaliknya dia berpusing-pusing bercerita mengenai rasuah, rasuah dan rasuah. Tiada polisi baru dan segar yang dicadangkan.

Rupanya saya baru dapat jawapan selepas membaca ciapan Rara ini. Sebenarnya HARAPAN tidak pernah membincangkan pelan penyelesaian untuk mengartasi masalah rakyat.

Strategi mereka untuk “menang dahulu, fikir dasar kemudian” membuktikan gabungan terbabit tamakkan kuasa, tidak serius dan tidak ikhlas memperjuangkan nasib rakyat.

Mengenai "politik tokoh" yang diperkatakan oleh Rara, saya pasti beliau merujuk kepada pencalonan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri HARAPAN.

Secara sedar tak sedar, Rara sebenarnya menolak keras idea dan cadangan itu.

Katanya: “Siapa yang dapat sokongan majoriti ahli parlimen, jadilah PM nanti”.

Rara sedar, calon itu - Dr Mahathir - datang dari parti komponen terkecil, terbaru, dan tidak pernah teruji dalam mana-mana pilihan raya.

Anggota pembangkang yang menang paling banyak kerusi ialah DAP. Secara tersirat, beliau berkata, sepatutnya DAP yang menang majoriti ahli parlimen dan perlu menjadi perdana menteri.

Namun, kita tidak boleh salahkan Rara. Sebabnya, beliau merupakan anggota DAP dan pasti mahu pemimpin parti terbabit menjadi Perdana Menteri.

Persoalannya, siapa? Lim Guan Eng, Lim Kit Siang atau Liew Chin Tong?

Akhirnya kita dapat lihat, tiada kesepakatan dalam HARAPAN ini sebaliknya ia sekadar cubaan untuk ‘tidur sebantal, namun berlainan mimpi'.

Saya harap rakyat Malaysia cepat sedar dan tidak termakan dengan lakonan dan sandiwara HARAPAN ini.


CHIONG SEN HOW ialah anggota Parliamen Belia Malaysia merangkap anggota Jawatankuasa Pemuda Nasional parti Gerakan.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen