Siapa pengundi pos, pengundi awal


(Dikemaskini )

Pilihan Raya Umum Ke-14 pastinya menyaksikan satu pertemuan sengit antara dua koalisi politik yang mewarnai perjalanan demokrasi Malaysia.

Oleh yang demikian, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diingatkan bahawasanya rakyat bukan sahaja memerhati, tetapi juga terlibat secara langsung dengan proaktif dalam PRU kali ini.

Sebelum itu, saya raikan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkait kenyataan undi pos. Ini berikutan notis yang dikeluarkan oleh SPR - kemudahan pengundian pos pada PRU14 kepada skim anggota keselamatan dan kesihatan.

Kenyataan beliau ini secara tidak langsung menjawab persoalan, namun secara tidak langsung menjurus kepada persoalan pokok yang bakal berbangkit dalam PRU akan datang.

Persoalan pertama, jika mereka yang tersenarai di bawah PVR adalah merupakan anggota keselamatan yang juga tertakluk di bawah Akta Polis dan Akta Tentera, adakah mereka boleh dibicarakan jika melakukan kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya 1954?

Selain itu, adakah wujud justifikasi yang jelas, bahawa tidak semua anggota keselamatan dan kesihatan yang akan dikerahkan pada hari pengundian, supaya tidak wujud penyelewengan undi seperti yang dibangkitkan?

Seterusnya, pengerusi SPR juga memaklumkan bahawa: Perkara 3(1) hingga (4) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 menetapkan mana-mana warganegara yang mendaftar sebagai pemilih boleh mengundi secara pos dengan syarat mereka perlu tergolong dalam satu daripada kategori yang ditetapkan SPR.

Justeru, adakah SPR akan mengeluarkan data dan statistik lengkap senarai anggota keselamatan dan kesihatan yang dibenarkan untuk memohon sebagai pengundi awal mengikut kawasan? Saya yakin, langkah ini mustahak bagi menjamin ketelusan SPR disemak oleh rakyat.

Tambahan pula, pengerusi SPR juga telah secara langsung memberikan jawapan berkait amalan pengiraan undi awal pada hari yang sama sebagai tidak praktikal kerana mempengaruhi pola pengundian pada hari mengundi.

Persoalan seterusnya, adakah kini tanggungjawab SPR juga memastikan pola pengundian dikawal sepertimana amalan peralihan pengundian dan persempadanan semula dilaksanakan?

Bukankah SPR bertanggungjawab untuk melaksanakan pilihan raya secara adil dan saksama tidak kira apa jua pola pengundian yang berada dalam peti undi oleh rakyat?

Tuntas, saya tegaskan agar rakyat dan NGO sama-sama mengambil peranan dalam meningkatkan pengetahuan kependidikan pilihan raya.

Saya juga mendesak pengerusi SPR tampil dengan jawapan yang berpihak kepada rakyat jelata.


NURUL IZZAH ANWAR adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai, naib presiden dan pengarah pilihan raya PKR.

Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.