malaysiakini logo
story-image
ADS

Kenyataan Tuan Guru Haji Hadi Awang bahawa anggota kabinet hendaklah yang Islam dan bangsa paling berpengaruh adalah pandangan politik peribadi beliau, bukannya berasaskan dalil syariah yang jelas.

Pandangan beliau yang menukilkan pendapat Imam Mawardi tentang hak zimmi dalam pentadbiran dengan tafsiran di luar konteks seolah-olah menyatakan bahawa bukan Islam di Malaysia adalah golongan kelas kedua.

Malah ramai dalam kalangan orang Islam di Malaysia mempunyai salah faham dengan konsep zimmi.

Tanggapan zimmi sebagai masyarakat kelas kedua dalam negara Islam dahulu adalah pandangan syaaz (pelik) dan dipopularkan oleh majoriti orientalis.

Ia bercanggah dengan prinsip umum Islam yang menjamin karamah insaniah (kemuliaan manusia) dan hak sama rata manusia.

Dalam sejarah Islam, golongan ini diberi peluang memegang jawatan kerajaan kecuali jawatan yang memang langsung berkaitan dengan keagamaan seperti imam dan khatib.

Mereka terlibat dalam penentuan dasar negara rakyat keseluruhannya tetapi tidak terlibat dalam hal ehwal keagamaan rakyat umat Islam.

Malah terdapat dalam sejarah terutamanya zaman Abbasiyah, rakyat beragama Kristian dan Yahudi dilantik menjadi menteri dan gabenor di wilayah-wilayah Islam seperti Nasar Harun, Isa Qasturas, Abu Saad Tastari dan Bahram Armani.

Bagaimanapun, majoriti ulama pada zaman ini seperti sheikh Dr Yusud Al-Qaradhawi, sheikh Dr Ali Al-Qaradhagi, sheikh Ben Bayyah, sheikh Dr Ghannoushi, sheikh Dr Raysuni, sheikh Dr Muhammad Imarah, Dr Tariq Ramadhan dan sheikh Dr Mohd Parid lain sepakat bahawa konsep zimmi telah tidak wujud kerana wujudnya perbezaan konsep dan konteks kenegaraan.

Konsep ini diganti dengan konsep muwathonah (kewarganegaraan) yang memberi hak sama rata kepada semua warganegara selagi mana mereka mengiktiraf perlembagaan termasuk hak untuk mengundi dan diundi di dalam pilihan raya.

Malah menurut sheikh Yusuf Al-Qaradawi dan sheikh Ali Al-Qaradhagi, pembayaran jizyah (cukai bukan Islam) tidak perlu diperjuangkan lagi dan perlu dihapuskan sekiranya bukan Islam terlibat dalam tugas mempertahankan negara, contohnya mereka menganggotai pasukan polis atau tentera.

Sheikh Ali Al-Qaradaghi yang juga setiausaha agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia juga menulis dalam kitabnya Nahnu wa Akhor bahawa konsep wizarah tafwidh dan wizarah tanfiz yang dipopularkan oleh Imam Mawardi perlu difahami secara teliti kerana konsep negara pada hari ini adalah negara yang mempunyai perlembagaan, yang perdana menteri juga boleh dikategorikan sebagai wizarah tanfiz.

Siasah rahmah ingin menyeru semua pihak khususnya agamawan untuk tidak terlalu mudah menggunakan teks zaman dahulu dalam konteks keadaan zaman sekarang yang bakal menyebabkan salah faham berterusan terhadap syariah dan Islam.

Selain itu semua pihak harus memainkan peranan bagi mengelakkan perpecahan, menyebarkan rahmah, dan mengekalkan keharmonian hidup bersama selaku rakyat Malaysia.


SIASAH RAHMAH adalah sebuah kumpulan advokasi polisi pro-Shariah.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen