malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Kenaikan kos sara hidup di S'gor kerana GST, bukan cukai negeri
ADS

Merujuk kenyataan bekas pegawai Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Isham Jalil, adalah ditegaskan kenaikan kos sara hidup di Selangor bukannya berpunca daripada cukai dan kos berkaitan hartanah, perumahan dan premis perniagaan di negeri ini.

Kerajaan Negeri Selangor prihatin dan berusaha mengatasi beban ekonomi setiap isi rumah di negeri ini dengan melaksanakan program Peduli Rakyat.

Menerusinya, kerajaan negeri mengambil inisiatif mengecualikan cukai pintu terhadap 790,443 rumah kampung dan kos rendah di Selangor (RM113 juta), mengecualikan fi lesen niaga terhadap seramai 162,010 peniaga (RM19.3 juta) sejak 2016 dan bayaran nominal hanya RM1,000 bagi pemilikan tanah kediaman kepada 5,317 peneroka tanah negeri ini yang tidak mampu membayar premium.

Kerajaan negeri juga tidak pernah meminda Kaedah-kaedah Tanah Selangor 2003 dan kekal komited dengan tarif cukai tanah semasa bagi semua jenis hartanah di Selangor sejak 14 tahun lalu.

Kenyataan Isham itu terlalu dangkal dan andaian semata-mata.

Hakikatnya, punca kos sara hidup meningkat adalah disebabkan penarikan subsidi beberapa barangan memasak, subsidi petrol, kemerosotan ringgit dan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan Persekutuan.

Laporan Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah 2016 oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan penduduk Putrajaya dan Kuala Lumpur di bawah Barisan Nasional yang paling banyak mengeluarkan perbelanjaan bulanan isi rumah.

Adakah ia berpunca daripada cukai dan kos berkaitan hartanah, perumahan dan premis perniagaan di Wilayah Persekutuan?

Kos sara hidup rakyat dijangka akan naik mendadak tahun depan, susulan arahan kerajaan Persekutuan mahu majikan membayar levi pekerja asing, berkuatkuasa 1 Januari ini.

Pastinya, majikan terpaksa memindahkan kos pembayaran levi itu kepada pengguna, menyebabkan saiz poket rakyat Malaysia terus menguncup.


YIN SHAO LOONG adalah Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor.

Rencana ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen