Kasihan orang Perlis, hospital tak ada kemudahan


(Dikemaskini )

Perlis adalah satu negeri, tetapi tahap perkhidmatan perubatan di hospital besar negeri, lebih teruk dari hospital di sesetangah pekan!

Saya berasa sedih memikirkan nasib rakyat di negeri-negeri kecil seperti Perlis. Pengalaman saya sendiri membuatkan saya bercakap sedemikian.

Ibu saya telah dimasukkan ke wad hospital besar baru-baru ini. Ibu saya dimasukkan untuk mendapatkan rawatan untuk sakit jantung.

Selepas empat hari, ibu saya dibenarkan pulang ke rumah. Semasa sedang berkemas untuk pulang, ibu saya rebah kerana sakit kembali.

Selepas itu doktor pakar menasihati untuk berehat lagi dan pulang ke rumah selepas beberapa hari. Nasihat doktor adalah berasaskan laporan ECG.

Apabila kami meminta untuk melakukan ujian angiogram, kami diberitahu bahawa tiada kemudahan untuk menjalankan ujian angiogram di Perlis dan perlu merujuk ke Hospital Alor Setar di Kedah.

Keluarga kami membuat keputusan untuk menukar ibu kami ke hospital swasta di Pulau Pinang, di mana kakak saya sedang berkhidmat sebagai jururawat am.

Di hospital pakar di Pulau Pinang, kami diberitahu oleh doktor pakar bahawa ibu kami mempunyai sekatan 95 peratus dan harus menjalani rawatan angioplasti dengan segera.

Rasanya keputusan keluarga kami untuk menukarnya ke hospital di Pulau Pinang adalah memang tepat.

Kami, sekeluarga mampu menukar ibu kami ke Hospital swasta di Pulau Pinang. Soalnya sekarang, bagaimana pula dengan rakyat yang tidak berkemampuan di Perlis?

Adakah rakyat Perlis keseluruhannya tidak memerlukan fasiliti perubatan sakit jantung?

Adakah nyawa dan kesihatan rakyat di negeri terkecil Malaysia itu tidak senilai dengan nyawa dan kesihatan rakyat di negeri-negeri maju seperti Selangor dan Pulau Pinang?

Negeri terkecil di Malaysia ini tidak pernah ada kerajaan lain selain daripada kerajaan BN. Ini adalah salah satu negeri yang BN menang dengan selesa dalam semua pilihan raya.

Tetapi, rakyat tidak mendapat perkhidmatan kesihatan asas di negeri ini. Kalau hospital-hospital kecil tidak mempunyai kepakaran dan fasiliti pakar, kita faham. Ini hospital besar sebuah negeri.

Takkan hospital besar negeri pun kurang kepakaran dan fasiliti? Apakah sebab kerajaan persekutuan merasakan hospital di Perlis tidak memerlukan kepakaran dan fasiliti moden?

Ini antara soalan yang timbul di hati saya memikirkan nasib rakyat di Perlis. Setiap tahun peruntukkan bajet persekutuan meningkat.

Tetapi peruntukkan untuk Kementerian Kesihatan, meningkat tidak seberapa pun, tidak memanfaatkan rakyat.

Sepatutnya, kementerian kesihatan perlu mohon peruntukkan tambahan untuk memodenkan hospital-hospital kita.

Dan menteri kewangan pula harus memperuntukkan peruntukkan yang lebih untuk kementerian kesihatan, daripada terus meningkatkan peruntukkan kepada organisasi naungan isterinya, PERMATA.


DAVID MARSHEL ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.




Pengiklanan