Buat mudah dalam jenayah pemerdagangan manusia


(Dikemaskini )

Isu pemerdagangan manusia dan penemuan kubur mangsa di Wang Kelian telah meletakkan nama negara di satu tahap yang cukup buruk di mata dunia.

Persoalannya kenapa pihak berkuasa memberi jawapan tidak cukup bukti, atau apakah ada tindakan terancang sembunyi bukti?

Berdasarkan laporan media, PKR Perlis amat kecewa dengan sikap pihak berkuasa yang dilihat cuba menutup dan melindungi individu mahupun kumpulan tertentu yang berkemungkinan berprofil tinggi.

Maka tidak hairanlah ada bahan bukti yang terpaksa dihilangkan.

Sudah pasti ada arahan tangan ghaib mengarahkan pemusnahan bahan bukti hingga menyebabkan tiada sebarang pendakwaan walaupun sebelum ini ada tangkapan di lakukan.

Persoalannya siapa tangan tangan ghaib yang melakukan semua ini sehingga pihak berkuasa terpaksa tunduk melutut mendiamkan diri?

Tidak mungkin kerja jahat mungkar sebegini hanya di lakukan oleh kumpulan jenayah melainkan ada unsur penglibatan individu berprofil tinggi.

Amat mustahil pihak berkuasa tempatan dan pihak keselamatan sempadan langsung tidak tahu menahu akan tapak yang ujud bukan sehari dua, tetapi sudah bertahun lamanya.

Apakah tidak ada laporan di berikan pihak berkuasa yang melakukan rondaan sempadan selama ini?

Amat ganjil dan amat amat tidak masuk akal, tidak laporan atau bukti kukuh.

Kita cuba menjadi hero dalam isu kemanusiaan Rohingya dan Palestin, namun hal dalam negara kita leka dan ambil mudah mencari siapa dalang di sebalik kejahatan ini.

Saya mendesak PDRM di bawah kepimpinan baru segera bertindak membongkar dan menyiasat siapa dalang kejahatan yang sanggup mengambil keuntungan kekayaan hasil dari pemerdagangan manusia.


MOHAMMAD FAISOL ABD RAHMAN ialah pengerusi PKR Perlis.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.




Pengiklanan