malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Dengarkan suara penduduk simpang empat Kuang
ADS

Kerajaan Selangor sepatutnya menjadi entiti terpenting dalam memberi pembelaan kepada rakyat secara sama rata dan saksama.

Kerajaan negeri diketahui mewujudkan pelbagai skim bantuan untuk rakyat meningkatkan taraf hidup.

Semua itu memberi kelebihan kepada parti-parti peneraju kerajaan Selangor menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Namun bukan semua yang dilakukan oleh kerajaan negeri ini memberi pembelaan berpatutan kepada rakyat yang lemah.

Satu contoh yang kurang baik ialah projek pelebaran Jalan Melati di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang, Gombak.

Projek ini diumumkan oleh Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Zaidy Abdul Talib dalam lawatan beliau ke kampung berkenaan pada 2016.

Bagi penduduk yang baru mendiami kawasan pinggir bandar ini - misalnya di Taman Tasik Biru, pangsapuri Laguna Biru dan SPNB - pembesaran simpang empat jalan di Kuang itu merupakan suatu nikmat.

Projek itu juga akan memastikan undi rakyat pergi kepada parti yang diwakili oleh exco dan calon pilihan raya yang akan diletakkan di DUN berkenaan sebagai tanda terima kasih.

Bagaimanapun pada sisi lain, malapetaka menimpa ke atas penduduk asal yang menetap di keempat-empat bahagian simpang bekenaan.

Sekiranya Malaysia mempunyai Akta Kampung Warisan maka kampung Kuang ini boleh diwartakan ke dalam akta tersebut kerana ia telah dibuka lebih 100 tahun lalu.

Bagi laluan kepada jalan

Jalan raya baru untuk kawasan perumahan perlu menghindari kampung yang telah mapan dan tidak boleh diganggu oleh orang luar.

Malangnya Malaysia, malah Selangor - yang diperintah Pakatan Rakyat (kerana masih wujud PAS di dalamnya) - tidak memerlukan akta yang menyukarkan pembangunan seperti di negara-negara maju Eropah yang mengambil kira kambing atau lembu penduduk kampung akan digilis kenderaan sekiranya jalan dibesarkan untuk menampung petempatan 'pendatang baru’.

Di Malaysia jalan pintas pembangunan ialah membelah kampung sedia ada menggunakan Kanun Tanah Negara 1966. Penghuni yang telah beratus tahun mendiami kawasan tersebut diarah keluar dan jalan raya untuk membolehkan jalan lebih besar dibina.

Jalan setaraf lebuh raya itu pula tidak mengambil kira akan bahaya penduduk yang tinggal berhampiran dengannya.

Namun, walau apa pun bantahan, penduduk di sekitar simpang empat Kuang akur terhadap notis yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) pada September 2017 lalu untuk mengosongkan lot kediaman mereka dan memberi laluan pembinaan jalan dua lorong di kawasan itu.

Cuma penduduk terkilan kerana jangka masa pelebaran jalan yang terlalu pantas. Dalam notis yang diberikan, projek akan bermula pada Februari 2018.

Di kawasan-kawasan berhampiran, projek pembesaran jalan biasanya dilaksanakan selepas setahun notis pengosongan lot kediaman dikeluarkan untuk memudahkan penduduk berpindah secara beransur-ansur.

Malah penduduk di kawasan setinggan pun diberi tempoh maksimum sedemikian rupa walaupun mereka tidak memiliki geran tanah atau lesen menduduki sementara (TOL).

Jalan lain kekal selorong

Situasi amat pelik menimpa penduduk di simpang empat ini kerana mereka memiliki geran hak milik berstatus kekal tetapi diarah keluar dari tanah mereka dalam tempoh dua bulan sahaja!

Wakil penduduk telah menemui Ahli Dewan Undangan Negeri Kuang, Datuk Abdul Shukor Idrus namun beliau enggan membantu dengan alasan beliau ialah wakil rakyat pembangkang.

Kemudian penduduk menemui Anggota Parlimen Selayang, William Leong, untuk mengadu masalah. Bagaimanapun beliau tidak berjaya membantu kerana ia di luar bidang kuasa beliau dan menyatakan kerajaan negeri bertegas projek berkenaan harus disiapkan sesegera mungkin menjelang PRU ke-14.

Penduduk tertanya-tanya adakah projek tersebut untuk menyelesaikan masalah kesesakan trafik atau untuk pilihan raya?

Sekiranya mengatasi kesesakan trafik maka projek itu kelihatan ‘dungu’ kerana hanya melebarkan jalan pada suku kilometer di sekitar simpang empat berkenaan saja. Sedangkan jalan yang amat sesak menuju ke Sungai Buloh dan bersambung dengan jalan utama ke Kuala Lumpur masih kekal satu lorong.

Dua lorong akan mengecil kepada satu lorong. Adakah itu cara terbaik kerajaan negeri ingin mengurangkan kesesakan trafik?

Penduduk berpendapat sekiranya ahli politik mahukan undi maka lebih mudah sekiranya mereka mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) memasang papan tanda projek.

Janji politik sudah tertunai dan biarkanlah penduduk simpang empat bertenang menghadapi hari-hari terakhir mereka di tanah tumpah darah yang dihuni sejak beberapa keturunan.

Tempoh yang amat singkat, menurut penduduk yang terlibat, amat menyukarkan mereka kerana sebahagiannya merupakan warga emas.

Sekurang-kurangnya ada sembilan warga emas daripada lima keluarga terlibat secara langsung dalam pengambilan tanah berkenaan.

Cadangan Pentadbir Tanah Gombak ketika memanggil perbicaraan pengambilan tanah agar penduduk itu berpindah dahulu ke rumah sewa sebelum membeli rumah adalah tidak praktikal.

Berbahaya untuk didiami

Adakah berperikemanusiaan mengarahkan warga emas berumur 60 dan 80 tahun mengangkat barang-barang mereka ke rumah sewa kemudian mengangkat pula ke rumah yang baru dibeli?

Warga emas ini tentunya tidak boleh membuat pinjaman bank untuk membeli rumah. Wang pampasan paling awal dijanjikan oleh Pajabat Tanah adalah pada akhir Disember 2017, sedangkan projek pembesaran jalan bermula pada pertengahan Februari 2018.

Tempoh berpindah tidak sampai dua bulan? Oleh itu penduduk meminta agar projek ditangguhkan sepenuhnya sekurang-kurangnya enam bulan dari tarikh asal.

Hal itu kerana mereka memerlukan wang pampasan untuk membeli rumah baru.

Sekali lagi nasib tidak menyebelahi penduduk kerana rumah atau premis mereka dibina di atas tanah berstatus pertanian.

Pampasan yang dianugerahkan mengikut undang-undang adalah berdasarkan budi bicara Pentadbir Tanah Gombak dan tidak mengikut harga pasaran.

Oleh itu, penduduk terbabit memerlukan masa yang lebih lama untuk meneliti harga rumah dan lokasi. Mereka tidak boleh membeli rumah flat kerana faktor usia. Begitu juga rumah-rumah penduduk yang hanya terkena dinding tidak dikira  sedangkan rumah itu amat hampir kepada jalan dan berbahaya untuk didiami.

Faktor injurious affection (kerosakan yang memerlukan ganti rugi penuh) tidak diambil kira dan pampasan kepada mereka ini kurang RM50,000. Tidak mungkin penduduk mampu membeli rumah lain.

Semakin hampir tarikh arahan berpindah penduduk simpang empat Kuang semakin buntu akan nasib dan masa hadapan mereka.

Wakil rakyat tidak mampu membantu manakala kerajaan negeri berkeras mahu projek diselesaikan segera. Beginilah nasib rakyat yang tersepit di tengah-tengah arus politik.

Ke manakah penduduk simpang empat ini boleh mengadu nasib? Bumi Selangor adalah bumi bertuah dan maju. Namun tidak siapa menjangka pembangunan untuk petempatan baru akan memakan korban penghuni asal yang menetap lebih daripada empat keturunan di kampung Kuang.


MOHD HARON AYUB ialah salah seorang penduduk Kuang yang prihatin kepada isu pelebaran jalan di situ.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen