malaysiakini logo
story-image
ADS

Sering diperkatakan keamanan dan kesejahteraan kehidupan masyarakat di Malaysia ini yang terdiri daripada pelbagai agama, budaya, etnik, kaum dan keturunan adalah disebabkan wujudnya sikap toleransi antara agama dan toleransi antara kaum..

Terdapat pelbagai kupasan atau ulasan mengenai konsep toleransi antara agama dan kaum ini. Maksud yang mudah difahami dalam konsep toleransi antara agama dan kaum ini, ialah sikap bertolak ansur antara penganut sesuatu agama atau kaum terhadap agama atau kaum yang lain, tanpa menggadaikan prinsip atau maruah agama serta kaum masing-masing.

Maka seringlah kita dengar saranan agar rakyat Malaysia ini mengamalkan sikap toleransi antara agama dan kaum untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama hidup aman harmoni dalam satu negara.

Mengapa sikap toleransi antara agama dan kaum ini tidak diperluaskan pula kepada sikap toleransi antara parti? Supaya dengan wujudnya pula sikap toleransi antara parti ini, akan mewujudkan masyarakat yang lebih aman harmoni walaupun wujud di kalangan mereka ini yang terdiri daripada penyokong atau parti-parti politik, baik daripada pihak kerajaan mahu pun pihak pembangkang.

Alanglah indahnya sekiranya apabila bantuan daripada agensi kerajaan atau bantuan daripada parti-parti politik ini diberikan kepada mereka yang layak tanpa mengambil kira mereka ini ahli parti-parti politik tertentu. Seseorang yang benar-benar miskin diberikan bantuan atas faktor mereka ini miskin, bukannya atas faktor mereka mengundi siapa semasa pilihanraya.

Seseorang yang benar-benar pintar, diberi biasiswa atas faktor kepintaran mereka bukannya atas faktor apa jawatan mereka dalam parti politik. Seseorang yang meminta lesen perniagaan, diberikan lesen perniagaan atas faktor mereka ini usahawan sejati, bukan atas faktor berapa sumbangan mereka telah berikan untuk menaikkan individu tertentu dalam parti. Maka inilah yang dipanggil sikap toleransi antara parti.

Namun sentimen kepartian dalam masyarakat Malaysia ini masih menebal sehingga sukar untuk mewujudkan sikap toleransi antara parti. Malah ada segelintir antara mereka mengamalkan sikap toleransi antara agama yang adakalanya terpesong akidahnya atau melampau sehingga bersama-sama berseronok hilai ketawa meraikan hari perayaan penganut agama lain tetapi mereka tidak boleh sama berseronok hilai ketawa meraikan hari perayaan saudara mereka yang sama agama tetapi mempunyai pegangan fahaman politik yang berbeza.

Sikap toleransi antara parti ini lebih mudah dicernakan di negara maju jika dibandingkan dengan negara membangun. Lihat sahaja kempen-kempen pilihanraya negara-negara maju di mana tiada poster, papan tanda dan bendera parti yang keterlaluan, sehingga adakalanya difikirkan kempen sebegini hanya membazirkan wang dan mengotorkan persekitaran bandar dan kampung.

Sebagai sebuah negara yang menuju wawasan 2020, Malaysia sepatutnya mengatur strategi kempen pilihanraya yang dapat mewujudkan masyarakat yang boleh mengamalkan sikap toleransi antara parti. Alangkah indahnya sekiranya semasa kempen pilihanraya hanya beberapa papan-papan tanda pilihanraya sahaja dibenarkan.

Sementara risalah calon yang bertanding dalam pilihanraya dimasukkan secara teratur dalam setiap peti surat rumah-rumah kediaman. Banyak lagi contoh-contoh berkempen daripada negara maju yang boleh diadaptasikan di Malaysia ini untuk mewujudkan masyarakat yang mempunyai sikap toleransi antara parti.

Seperti di Amerika Syarikat yang mempunyai sistem dua parti, iaitu Demokrat dan Republikan. Yang sering menjadi perdebatan ialah hanya antara ahli-ahli kongres kedua-dua belah parti di dewan kongres atau dewan senat. Namun rakyat Amerika tidak pula secara umumnya bertanyakan mereka ini ahli parti mana apabila membuat permohonan biasiswa, mengemukakan bantuan fakir miskin, memohon bantuan perniagaan kepada pihak pemerintah.

Apabila menjelangnya sambutan hari kebangsaan, maka bendera Amerika Syarikat dikibarkan secara teratur pada rumah-rumah. Mereka ini tidak ghairah untuk menaikkan bendera parti Demokrat ataupun Republikan dirumah-rumah mereka semasa hari kebangsaan mahupun semasa pilihanraya.

Sikap berpada-pada dalam setiap individu menyatakan sokongan mereka kepada parti yang dokongi haruslah menjadi asas dalam mewujudkan sikap toleransi antara parti. Dengan ini akan mewujudkan masyarakat Malaysia yang aman harmoni yang terdiri daripada pelbagai agama, kaum, budaya, bangsa, keturunan dan akhir sekali pelbagai fahaman politik.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.