malaysiakini logo
story-image
mk-logo
From Our Readers
Kepetahan pidato bukan syarat utama kepimpinan
ADS

Dalam pandangan Islam, kepimpinan yang terbaik adalah berasaskan ilmu (2:31) dan teladan akhlak. Banyak kali juga kita tersasar menilai pemimpin. Ramai beranggapan bahawa kepetahan berpidato adalah syarat utama kepimpinan.

Hakikatnya tidak begitu. Satu contoh terbaik, Allah melantik Nabi Musa yang tidak petah bicara, tapi berilmu tinggi serta berani. Oleh kerana tidak mahir berucap, maka baginda berdoa agar Harun diangkat sebagai Nabi kerana saudaranya itu lebih fasih untuk menyampaikan dakwah kepada Bani Israel dan Fir'aun. (20:2534)

Namun, sejarah membuktikan bahawa kepetahan pidato Nabi Harun tidak mampu mengawal Bani Israel yang kembali syirik menyembah lembu emas ciptaan Samiri. Musa meninggalkan kaumnya cuma 40 hari untuk menerima Ten Commandments. (20:94)

Justeru, kepimpinan seseorang yang diiktiraf berasas kepetahan bicara kehalusan bicara adalah tesis yang perlu diperbetulkan segera. Ini kerana, al-Quran sebagai sumber rasmi Islam Hadhari telah membuktikan kesilapan ini. Tambahan pula, hal ini berkaitan dengan perkembangan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

UIAM sebagai universiti Islam di peringkat global tersasar dalam memilih acuan kepimpinan berasaskan al-Quran sebagai inti Islam Hadhari. Misalnya, dasar Hal-Ehwal Pelajar (HEP) UIAM yang memilih kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (SRC) akan datang dengan ujian public speaking , bercanggah dari segi kepimpinan Islam yang ingin diterjemahkan berdasarkan pemikiran al-Quran.

ADS

Hal ini kerana, seperti hujah dan fakta rabbani di atas, tidak semua petah bercakap itu mampu memimpin umat dan bangsanya. Apatah lagi mahasiswa yang diharapkan agar dapat memimpin umat di masa depan, telah tersekat kepimpinan melalui kaedah ini.

Apa-apa yang bercanggah dengan semangat, ruh dan pemikiran al-Quran, sudah tentu bercanggah dengan semangat Islam Hadhari. Kita menyeru UIAM menjawab persoalan yang dibangkitkan ini secara ilmiah.

Sementara itu, di dalam perjumpaan antara Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dengan Suhakam tanggal semalam mengenai hal ini, Prof Hamdan Adnan serta Dr Abdul Monir menyifatkan hal ini menyekat kelahiran pemimpin masa depan.

Syahadan, pemikiran pentadbir Institut Pengajian Tinggi perlu menjalani proses penghadharian ke arah Islam dan berfikir secara lebih bertamadun. Berfikirlah di luar kotak - out of box - seperti saranan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kalakian, jika polisi baru ini tidak dihapuskan, dikhuatiri ia memberi impak serta kesan yang lebih buruk kepada imej Islam Hadhari di mata dunia. Hal ini kerana, UIAM adalah sebuah universiti Islam yang antarabangsa sifatnya.

Oleh itu, kepimpinan yang dinilai berdasarkan kepetahan pidato adalah tesis yang lemah. Tetapi, jika kita benar-benar ingin lahirkan kepimpinan yang mampu pidato, maka kita harus menimbangkan dari segi lain pula. Iaitu, apa kurangnya pidato dalam bahasa Melayu sedangkan bahasa ini adalah bahasa ilmu dan lingua franca ?

HEPUIAM harus menginsafi bahawa antara matlamat penubuhan UIAM adalah untuk pengantarabangsaan bahasa Melayu. UIAM pernah wujudkan program anak angkat melibatkan pelajar luar negara agar mereka membiasakan diri dengan bahasa Melayu.

Langkah jangka panjang ini dilakukan dengan harapan, apabila pelajar pulang ke tanahair mereka, maka bahasa Melayu akan berkembang ke serata dunia. Ini satu langkah bijak dan ia perlulah diteruskan.

Justeru, perucapan umum dalam bahasa Inggeris untuk menapis calon-calon SRC adalah langkah ke belakang demi memajukan bahasa kita. Adakah kita telah latih mereka agar mahir berbahasa Melayu? Semoga UIAM dapat zahirkan kebijaksanaan agar hal ini selaras dengan matlamat asal dan cita-cita fundamental UIAM dan negara.

HEP perlu menunjukkan nilai patriotik yang tinggi dengan mengutamakan bahasa Melayu untuk memilih kepimpinan negara di tahap global. Hendaklah kita ingat, bahawa takrif Melayu itu adalah mereka yang boleh 'berbahasa Melayu' juga.

Syahadan, jika pelajar luar dapat berbahasa dengan betul, maka kelahiran Melayu Global tercapailah. Adalah hal yang membanggakan jika mereka dapat berucap di dalam bahasa Melayu serta menjadi duta atau ketua negara mereka di masa depan. UIAM hendaknya berfikir secara matang dan bijaksana agar aspirasi kerajaan tercapai.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.